Ahad, 24 Oktober 2010

Soalan Percubaan Kesusasteraan Melayu Moden negeri Kedah 2010


PEPERIKSAAN PERCUBAAN BERSAMA STPM 2010


Anjuran Bersama
JABATAN PELAJARAN NEGERI KEDAH DARUL AMAN
dan
PERSIDANGAN KEBANGSAAN PENGETUA-PENGETUA
SEKOLAH MENENGAH MALAYSIA ( PKPSM ) KEDAH.


Arahan Kepada Calon:

JANGAN BUKA KERTAS SOALAN INI SEHINGGA ANDA DIBENARKAN BERBUAT DEMIKIAN

Jawab empat soalan sahaja; satu soalan daripada tiap-tiap Bahagian A, B, C, dan D

Markah untuk tiap-tiap soalan diberikan dalam tanda kurung [  ].


BAHAGIAN A : SEJARAH KESUSASTERAAN MELAYU MODEN



1.    Dalam sejarah pertumbuhan dan perkembangan sastera tanah air, kehadiran golongan   
pengarang guru telah berjaya merancakkan lagi dunia kesusasteraan Melayu setempat sejak tahun 1920-an.  Bincangkan  sumbangan golongan ini kepada dunia penulisan sastera Melayu sebelum perang dunia kedua
                                                                                                                                                      [25]                                                                

2.            Mana Sikana merupakan salah seorang pengkritik dan penulis esei kesusasteraan Melayu yang terkemuka di Malaysia mutakhir ini.   Merujuk kepada ketokohan beliau itu, jelaskan perkara berikut:
     (a)    Latar belakang beliau, dan                                                                                                  [5]
     (b)    lima sumbangan beliau terhadap perkembangan kritikan sastera                                         [20]


BAHAGIAN B : NOVEL DAN CERPEN

3.         Baca petikan novel di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

“Barangkali orang seperti Lebai Maarup itu menyangka dia tahu bahawa dia memerlukan pertolongan.” Dia akhirnya terlajak.“Orang-orang fanatik seperti lebai itu tidak pernah tahu lain dari mengaji,” Yang Berhormat Muhd. Yusuf menjelaskan.“Kalau dia tahu takkan dia mengucapkan kata-kata sumbang yang amat dikesali hari Jumaat dulu itu,” Yang Berhormat menguatkan hujahnya.
Sudin mendiamkan diri lagi. Dia mulai sedar bahawa dia telah mulai hendak mengutarakan apa sebenarnya yang tersemat dalam hatinya. Aku mesti berpura-pura sahaja. Berterus terang membahayakan. Dia diam.
(Dipetik daripada Keris Mas, 2003.Saudagar Besar dari Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 306)

(a) Di manakah dialog di atas diucapkan?                                                                                                 [2]

(b) Terdapat dua peristiwa penting yang melibatkan Lebai Maarup telah berlaku sebelum dialog di atas. Nyatakan dua peristiwa penting tersebut.                                                                                                          [4]       

(c) Nyatakan empat latar belakang Sudin.                                                                                                [4]

(d) Jelaskan lima mesej yang ingin dikemukakan oleh pengarang dalam novel di atas.                               [15]


4.         Baca petikan cerpen di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

            “Oh, putus harapan dan menyesal aku sebab telah menyerahkan engkau ke dalam asuhan orang yang bersemangat kemelayuan. Tetapi engkau ialah anakku yang tunggal, buah hati dan timang-timangan aku. Apakah yang aku boleh buat melainkan memberi sepenuh-penuh kebebasan kepada engkau Lili! Tidakkah boleh engkau ubah fikiran engkau?”
            Sesungguhnya tidaklah siapa-siapa yang mengetahui mengapa seorang perempuan muda bangsa asing seumpama Miss Lili Chu ini begitu sekali rapat, mulia dan suci perasaannya terhadap sesebuah negeri di dalam mana dia telah diperanakkan, besar dan bersekolah tetapi tidak berhubung dengan kebangsaannya.

(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny.], 2003.
Cerpen Macam Gergaji Dua Mata dalam Mutiara Sastera Melayu Moden.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 6)

(a) Mengapa watak ‘aku’ menyebut dialog “putus harapan dan menyesal”                                                      [4]

(b) Berdasarkan cerpen di atas, huraikan                                   

(i)                 dua perwatakan Tauke Chan Ju Kua                                                                      [6]

(ii)               dua perwatakan Miss Lili                                                                                          [6]

(c) Jelaskan tiga nilai yang terdapat dalam cerpen di atas.                                                                          [9]


BAHAGIAN C: DRAMA

  1. Baca petikan drama di bawah dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

DAHLAN  : Keluar. ( Menolak Rahimah dengan marah). Betina tak tahu
                   diuntung, betina tak berbudi, betina tak sedar diri.

RAHIMAH : Ampunkan Mah, bang.

DAHLAN   :  Tidak. (Berjalan pergi baik). Dahlan tak pernah ludah jilat
                     balik. Apa kata mesti dikota. Sudah habis jodoh kau dengan
                     aku.

RAHIMAH : Maaf, bang. Mah bukan marah, bang. Mah hanya ingatkan     
                    abang  supaya kita selamat.

DAHLAN    : Keluar. (Menunjuk tepi sebeng). Aku tak mahu dengar.

RAHIMAH  :  Sampai hati , abang. Bukankah Mah tinggal sebatang kara
                      sekarang, tak beribu berbapak lagi?

DAHLAN    : Peduli apa aku dengan ibu bapak kau? Pintu buat kau keluar         
                     sedia  terbuka sekarang. Keluar. (Menunjuk tepi sebeng 
                     untuk keluar).

RAHIMAH : Mah nak keluar ke mana, bang? Bukankah mak dah
                    meninggal?  Kepada siapa lagi Mah nak bergantung hidup?

                    ( dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia(peny.) , 2003
                    Drama Lawyer Dahlan dalam Mutiara Sastera Melayu Moden,
                            Kuala Lumpur: DBP, hal. 212.


a.      Jelaskan TIGA  sebab  mengapa  Dahlan begitu marah kepada Rahimah.                           [6]

b.      Perceraian yang diterima Rahimah adalah kerana pembalasan kerana perbuatan-perbuatan  yang telah dilakukannya selama ini. Jelaskan TIGA perbuatan tersebut.                                      [9]                               

                 c.   Huraikan LIMA nilai yang boleh dikutip dalam drama ini.                                                    [10]

  1. Baca petikan drama di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

IBLIS       : Sebenarnya, jika lulus ujian aku, manusia akan lebih kuat      
                  imannya. Mereka yang tidak pernah dilambung gelombang, tidak peka dengan kekaguman laut; mereka yang tidak kontang kerana teriknya panas, tidak peka dengan keteduhan pohon merimbun. Dan, manusia menjadi alpa terhadap tanggungjawabnya yang sebenar. Sebaliknya menjadi  mungkar. Tak serik-serik.

PEREMPUAN 1 : Tetapi, Ayub bukan sebarang manusia.

(Tiba-tiba Iblis menadah mukanya ke satu penjuru. Cahaya merah memancar ke mukanya).

IBLIS      : Ya Tuhan, izinkanlah aku menguji ketabahan hati dan iman 
                 Ayub  terhadap Dikau. Aku percaya imannya akan luntur dan 
                 lebur dengan ujianku. Dia akan memalingkan hatinya daripada
                 Kau. manusia dasarnya lemah.

(Iblis berhenti; beraksi selaku sedang mendengar. Sejenak).

IBLIS       :  Aku bersetuju dan aku berjanji. Ayub tidak akan mati.

(Sambil memberi isyarat). Askar, mara!

(Iblis pun keluar).

PEREMPUAN 1 : J.M.  Aziz pernah bersuara :

            Pada-Mu
           
            Pada payung-Mu
            ku berlindung
            daripada hujan panas
            pada pelampung-Mu
            ku bergantung
            daripada tenggelam lemas


            Pada pelita-Mu
            kulihat cahaya
            daripada gelap-gelita
            pada peta-Mu
            ku menghadap kiblat
            daripada sesat melarat.

            Pada-Mu Allah
            ku pohon selamat
            dunia akhirat.

                         Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia[peny.] 2003,
         Drama “Malam Ini Penyu Menangis” dalam Mutiara sastera Melayu  Moden,
                                                              Kuala Lumpur: DBP , hal. 254-255.

a.  Nyatakan EMPAT  ujian yang telah diterima oleh Nabi Ayub                                                        [4]                    

b.  Huraikan TIGA sikap J.M.Aziz ketika beliau ditimpa ujian dalam  
     hidupnya.                                                                                                                               [9]      

c.   Bincangkan EMPAT  pengajaran yang boleh diperolehi daripada kisah    
      Nabi Ayub ini.                                                                                                                      [12]


BAHAGIAN D : SAJAK


  1. Baca sajak di bawah dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Doa Terakhir
Zaihasra

yang kupeluk tubuh lelahmu                                                            
yang kucium rambut lusuhmu
yang berderai air mataku, dingin subuh
menggigit kulit dan jantungku berdetap
ketika embun turun mencecah bumi                                                           5
menghitung denyut waktu saat akhir nafasmu
membawa pergi apa yang kau miliki!

Ibunda,
selamanya kudengar deburan ombak hidupmu
seadanya kutampung penderitaanmu, sedang kudratku           10
lemah untuk menahannya; doaku mungkin lewat terkabul
di mana pada alam luas ini suaraku sering tenggelam punca
betapa pilunya embun terakhir menyentakku
tiada lagi senyum di bibir lukamu.

Ibunda,                                                                                                            15
kalaulah mungkin aku berdosa
setelah saling kita bermaaf;
janganlah kau bawa lukaku bersamamu
aku telah belajar membaca wajah laut
mengoyak wajah pasir, menyibak suria
menggenggam angina menyusuri wajah malam                           20
namun, maafkan aku demi cintamu

Pulanglah bonda ke dalam kehidupan abadi
setelah datang dengan berani!
akan kukenang matamu dalam merenungku
mengungkapkan penyerahan hayat                                                            25
perjalanan 74 begitu panjang pertarungan
suka duka adalah impian kau membangunkan mimpi
dan aku adalah benteng yang mendepani
kehidupanmu.
            bagaikan batu pualam                                                                      30
            onggokan pusaramu
            memanggilku pulang
            ke kampung laman
            setelah lama dan jauh, musafir dan berkelana
            pedih mataku berair mata                                                                35
            segenggam rindu jadi selaut luka
            setabah dukaku menampung rasamu.

Ibunda,
meski di sini kita berpisah
dan di tamanku belum selesai kutanam bunga                                         40
kau adalah segalanya bagiku
tenang dan tenanglah
dalam doaku kita pasti bertemu.

Dewan Sastera, April 1988
DBP
                                  Dipetik daripada teks Mutiara Sastera Melayu Moden
                                      MPM, DBP, 2003, hal. 292-293

a. Nyatakan tema dan TIGA persoalan dalam sajak di atas.                   [7]

b.      Dengan contoh-contoh yang sesuai, huraikan TIGA unsur gaya bahasa dan   kesannya.                                                                                  [9 ]

c. Huraikan TIGA mesej yang terdapat dalam sajak di atas.                   [9 ]



8.         Baca sajak di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

www.sibermerdeka.com.my
A.Ghafar Ibrahim

Dalam kebun diriku
aku tanam saujana rancangan
untuk memerdekakan warga susahku
hidup menentang senja dan malam.

Dalam parlimen diriku                                                                      5
aku bahas isu onak dan enak
untuk kumerdekakan warga fikirku
mengelak hidup dikotakkatikkan.

Dalam laut diriku
ombak gelora menampar pantai aman                                          10
untuk menguji amal dan iman

Dalam gergasi diriku
terpedaya jua oleh permainan si kancil
namun sempat sedar dan beringat lagi.

Dalam pentas diriku                                                                         15
aku berlatih menangkis angin
aku berlatih memunggah awan
menghayati skrip demi skrip
yang tak diduga klimaksnya.

Dalam dewan diriku                                                                          20
aku tak cemas lagi
oleh kata yang mengekang
aku tak lemas lagi
oleh kata yang menyerang.

Apabila siber merdeka sampai                                                      25
ke rumah cabaranku
aku panggil diriku bermesyuarah
menyokong, berkecuali atau menentang
aku ambil keputusan
waktu itu aku kenal batas diri                                                          30
untuk tidak mengulangi kekalahan.

Kini, kapal diriku telah telah berlabuh
di pangkalan usia
aku turun darinya
menghadapi hidup nyata                                                      35
peristiwa datang peristiwa pergi
bagai siang memanggil malam
dan siber merdeka terus berkaca
terus mengalirkan arus ingatan:
Elakkan dirimu menjadi sia-sia                                                       40
hamparkan dirimu di persada Tuhan.

(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny.], 2003.
Mutiara Sastera Melayu Moden.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 310-311)

(a) Huraikan tiga sifat diriku yang digambarkan oleh penyajak.                                   [6]

(b) Jelaskan tiga persoalan yang terdapat dalam sajak di atas.                                              [9]

(c) Dengan memberikan contoh, jelaskan lima unsur perulangan dalam sajak  di atas.   [10]






KERTAS SOALAN TAMAT