PERSOALAN DAN REALITI MASYARAKAT

8.Pada tahun 1920-an dan 1930-an , persoalan yang dikemukakan oleh golongan penulis genre cerpen tidaklah memperlihatkan garapan persoalan yang besar, namun soal kebebasan sosial yang ditimbulkan kesan dari pertembungan Kebudayaan Timur dan Kebudayaan Barat jelas mendapat perhatian penulis cerpen pada era tersebut.

Berdasarkan petikan di atas,

a). Berikan nama dua penulis dan contoh karya mereka  yang memperkatakan persoalan kebebasan sosial.                                                                                                       [4]           
b). Huraikan dengan memberikan contoh empat persoalan kebebasan sosial  dalam cerpen-cerpen Melayu tahun 1920-an dan 1930-an.                                                    [12]                                                        
c). huraikan tiga faktor yang menimbulkan kesedaran golongan penulis cerpen  berhubung dengan persoalan kebebasan sosial                                                                                                                                                                                                              [9]

a). Berikan nama dua penulis dan contoh karya mereka  yang memperkatakan persoalan kebebasan sosial.

nama dua penulis                                                          contoh karya                                       
i.          Muhammad Yusof Ahmad                                - Mencari Isteri
ii.          Yusof Adil                                                        - Gelombang Hidup
iii.         Muhammad Yusof Arshad                                - Hantu Judi @ Isteri Yang Berbakti
iv.         Muhammad Yassin Maamor                             - Tanggungan Muda
v.         Abd. Rahim Kajai                                             - Jamil dan Jamilah

Taburan markah:
1 markah nama penulis dan 1 markah karya
2 isi x 2 markah = 4 markah

b). Huraikan dengan memberikan contoh empat persoalan kebebasan sosial  dalam cerpen-cerpen Melayu tahun 1920-an dan 1930-an

Fakta 1: Kebebasan untuk memilih pasangan hidup sendiri.
Huraian/Contoh: Pengarang cerpen pada era tersebut cuba membawa isu tentang golongan muda seharusnya diberi peluang untuk berkenal-kenalan dan menjalinkan hubungan percintaan barulah membina ikatan perkahwinan supaya hidup mereka lebih bahagia. Antara contoh cerpen yang membawa persoalan ini ialah cerpen Jamil dan Jamilah karya Abd. Rahim Kajai siaran Bil. 5, 19 Okt. 1936, Warta Jenaka.
Fakta 2: Persoalan Perkahwinan Paksa
Huraian/Contoh: Masyarakat Melayu pada era ini masih berpegang teguh dengan adat resam, termasuklah soal jodoh anak-anak yang ditentukan oleh ibubapa. Anak-anak terutama anak gadis akan dipaksa berkahwin untuk tujuan-tujuan seperti mendapat kekayaan dan pangkat. Cerpen Kesedihan Perkahwinan Paksa dan cerpen ”Kerana Ringgit Bercerai Kasih”oleh Pungguk atau Muhammad Yassin Makmur.
Fakta 3: Percintaan muda-mudi yang berlainan agama.
Huraian/Contoh:Kehadiran para imigran ke Tanah Melayu telah menjadikan negara ini terdiri dari pelbagai kaum. Situasi ini memberi idea kepada penulis untuk memaparkan persoalan percintaan golongan muda-mudi yang berlainan agama. Cerpen ”Mencari Isteri” (Majalah Guru, 1 Ogos 1928-1 Mei 1932) oleh Muhammad Yusof Ahmad yang mengisahkan percintaan antara Ramli dengan gadis Tionghua iaitu Yap Ah Moi.
Fakta 4: Kehidupan kota yang menjijikkan
Huraian/Contoh: Kehidupan kota yang moden, yang dipengaruhi oleh barat dengan pelbagai masalah sosial yang negatif, seperti pergaulan bebas, perjudian, perempuan kabaret, arak dan sebagainya. Memberi kesedaran golongan penulis untuk memperkatakan isu ini, cerpen Gelombang Hidup (Bulan Melayu, Mei 1931) oleh Yusof Adil. ”Hantu Judi atau Isteri Yang Berbakti (Warta Kinta, 24 Disember 1937) oleh Muhammad Yusof Arshad. Cerpen Hantu Arak (Majalah Cerita, Januari 1939) oleh Yahya Yusof.
Fakta 5: Pengaruh agama kristian di kalangan orang Melayu
Huraian/Contoh: Kecenderungan mubaligh kristian untuk mempengaruhi orang Melayu untuk memeluk kristian menyedarkan golongan penulis cerpen untuk memperkatakan isu ini antara cerpen yang memperkatakan persoalan ini ialah ”Salah Siapa?” (Warta Malaya, 28 Feb – 3 Mac 1938) oleh Melati Sarawak. ”Bertukar Agama Kerana Cinta”(Warta Malaya 14 Mac 1938) oleh Abd. Rahman Hj. Ahmad- yang mengisahkan tentang Abd. Fatah yang bercinta dengan Miss Emilia dan akhirnya bertukar agama menjadi penganut kristian dengan menggunakan nama Mr.Mad.
Fakta 6: Peristiwa kehidupan rumahtangga / keharmonian.
Huraian/Contoh: Kerukunan rumahtangga tidak mungkin tercapai tanpa perasaan kasih sayang antara suami isteri. Tanpa persefahaman dan timbang rasa mungkin perkahwinan akan bermasalah sama ada akibat perbuatan suami yang tidak jujur atau isteri yang terlalu cemburu dan akhirnya ia membawa kepada penceraian. Antara cerpen yang membawa persoalan rumahtangga ialah cerpen” Isteri” (Bulan Melayu, Mac –April 1931) oleh Yusof Adil. ”Apa Boleh Buat Talak Sudah Gugur (Warta Jenaka, 25 Nov 1937) oleh Abd. Rahim Kajai.

c). huraikan tiga faktor yang menimbulkan kesedaran golongan penulis cerpen  berhubung dengan persoalan kebebasan sosial    

Fakta 1: Peranan akhbar dan Majalah
Huraian/Contoh :Akhbar dan majalah yang muncul pada era ini seperti cendawan selepas hujan yang menyediakan ruangan khas untuk cerpen memberi peluang kepada para penulis menulis dan memperkatakan persoalan yang berkaitan dengan kebebasan sosial. Antara akhbar dan majalah yang prolifik menyiarkan cerpen ialah Warta Jenaka, Warta Ahad , Majalah Guru dan lain-lain.

Fakta 2: Kesedaran tentang perubahan sosio-ekonomi orang Melayu
Huraian/Contoh: Perubahan sosio ekonomi orang Melayu kesan pengaruh modenisasi barat telah membawa gejala negatif yang bertentangan dengan adat dan ajaran Islam, telah menyedarkan golongan penulis untuk memperkatakan persoalan kebebasan sosial.
Antaranya Muhammad Yusof Arsad dan lain-lain.

Fakta 3: Perlunya kebebasan untuk memilih jodoh.
Huraian/Contoh: Kehidupan orang Melayu yang dikongkong oleh adat dan peraturan-peraturan yang dirasakan lapuk dan tidak sesuai dengan keadaan semasa, khususnya soal jodoh anak-anak dimana ibubapa menentukan jodoh anak-anak mereka. Kesannya golongan penulis cerpen turut memperkatakan isu in seperti dalam cerpen Kesedihan Perkahwinan Paksa.

Fakta 4: Kebimbangan terhadap kehidupan kota yang bebas / gejala negatif
Huraian/Contoh: Kemodenan yang dibawa oleh barat turut membawa bersama pengaruh dan gejala yang negatif seperti pergaulan bebas, judi , arak dan sebagainya yang meninggalkan kebimbangan di kalangan penulis pada masa itu.

Fakta 5: Pengaruh agama kristian yang semakin menular di kalangan orang Melayu.
Huraian/Contoh: Kegiatan para mubaligh kristian yang semakin aktif menyebarkan ajaran kristian membimbangkan golongan penulis yang juga terdiri dari kalangan guru, mendorong mereka memperkatakan persoalan kebebasan sosial dalam karya-karya mereka.

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Bawah Artikel