Soalan Percubaan Kesusasteraan Melayu Moden Daerah Maran, Pahang 2010

BAHAGIAN A : SEJARAH KESUSASTERAAN MELAYU MODEN DAN KRITIKAN SASTERA

Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini.

1. Persoalan utama yang muncul di dalam tema cerpen-cerpen Melayu dari tahun 1920 hingga 1941 selain daripada moral ialah kebebasan sosial. Kebebasan sosial dipersoalkan dengan meluas terutama ketika masyarakat Melayu bertembung dengan masyarakat Barat. Berdasarkan petikan di atas;

a. Nyatakan dua golongan penulis yang terlibat dalam membawa persoalan di atas serta berikan nama dua tokoh tersebut.                                                                                                                                      [ 4 ]

b. Huraikan dengan memberikan contoh empat persoalan kebebasan sosial dalam cerpen-cerpen Melayu tahun 1920-an hingga 1941.                                                                                                                  [12]

c. Huraikan tiga faktor yang menimbulkan kesedaran golongan penulis cerpen berhubung dengan persoalan kebebasan sosial.                                                                                                                                  [ 9 ]


2. Pendekatan Keindahan (Stilistik) merupakan pendekatan yang sering digunakan dalam kegiatan kritikan sastera.

a. Jelaskan pengertian pendekatan tersebut.                                                                                           [ 4 ]

b. Huraikan tiga unsur yang ditekankan dalam pendekatan itu.                                                                [ 9 ]

c. Nyatakan tiga sebab pendekatan ini penting digunakan dalam kritikan sastera.                                    [12]

BAHAGIAN B : NOVEL DAN CERPEN
Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini.

3 Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur mempunyai pelbagai pengajaran yang oleh diteladani dan sebagai wadah untuk mengkritik golongan atasan. Bincangkan

(a) Lima pengajaran yang terdapat dalam novel tersebut.                                                                        [15]

(b) Dua kritikan sosial golongan atasan.                                                                                                 [10]


4. Baca petikan cerpen di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

“Engkau telah terpesong terlalu jauh. Barangkali engkau terlalu muda ataupun belum engkau melihat tanah air datuk nenek engkau yang amat permai itu. Aku rasa patutlah engkau mengikut aku pulang Tongsan bersama-sama akhir tahun ini supaya boleh engkau menyaksikan keelokan bandar-bandar Peking, Soato, Canton dan kemajuan saudara-saudara engkau di sana supaya terhakis perasaan-perasaan yang suci dan sejahtera.”
(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia(peny),2003.
Cerpen “Macam Gergaji Dua Mata”dalam Mutiara Sastera Melayu Moden
Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka halaman 4)

(a) Siapakah penutur dialog di atas dan kepada siapa dialog itu dituturkan?                                            [ 4 ]

(b) Jelaskan tiga perwatakan penutur dalam cerpen ini.                                                                          [ 9 ]

(c) Jelaskan beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam cerpen ini selepas petikan ini.                     [12]

BAHAGIAN C : DRAMA
Jawab satu soalan sahaja dari bahagian ini.

5. Berdasarkan petikan di bawah, jawab soalan-soalan berikutnya.

DAHLAN : Itu tak jadi soal, pak cik. Sesuai tidaknya perkara akan datang . Perempuan kampung boleh dihitamputihkan.

PAK HAMID : Ya, kata kau itu boleh jadi betul. Tapi, bukankah di bandar banyak gadis-gadis moden, berpelajaran dan berpendidikan secara Barat, sama dengan kau? Mengapa kau tinggalkan mereka? (Berpaling memandang Dahlan yang sedang menatap akhbar). Aku takut, Dahlan. Rahimah itu pilihan mata bukan pilihan hati kau. Ingat, Dahlan, kalau pilihan mata, aku tak yakin rumah tangga kau akan berbahagia.

DAHLAN : Kita manusia, manakan tahu hal-hal yang akan terjadi.

PAK HAMID : Memang tak tau, tapi aku berdasarkan pengalaman. Perkara seperti ini pernah berlaku di kalangan masyarakat kita dulu dan sekarang.

DAHLAN : Dahlah, pak cik (bangun berjalan-jalan). Itu semua tolak belakang. Kalau gunung sekalipun menghalang kehendak saya, saya tetap dengan kemahuan saya.

(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia(peny),2003.
Drama Lawyer Dahlan dalam teks
Mutiara Sastera Melayu Moden
Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka halaman 175)

(a) Berdasarkan petikan di atas, berikan dua perwatakan Dahlan.                                                          [ 4 ]
(b) Berikan tiga sebab keruntuhan rumah tangga Dahlan.                                                                        [ 6 ]
(c) “Perempuan kampung boleh dihitamputihkan”. Sejauh mana benar pernyataan ini.                             [15]

6. Berdasarkan petikan di bawah, jawab soalan-soalan berikutnya.

HALIMI : Dalam tahun 1965, J.M. Aziz jatuh sakit dan tidak dapat melihat keadaan sekeliling. Dengan murah hati J.M. Aziz telah membenarkan saya menunjukkan gambar-gambarnya apabila beliau jatuh sakit. Tetapi masih lagi tersenyum.

(Gambar-gambar ditayangkan. Muzik.)

(Cik Lijah berjalan masuk)

Ya, dia sering tersenyum, sebab penyakit itu tidak dapat menyentuh jiwanya; cuma tubuh badannya saja. Saya berkata kepada beliau. J.M. itu “Jiwa yang Memuji”, dan menari seperti pergerakan penari-penari “The Whirling Dervishes” yang cuba mendekati diri kepada Allah, bukan “Jiwa Merana”.

PEREMPUAN : Masa dia jatuh sakit, mereka mempunyai tujuh orang anak. Puan Lijah mengambil upah menjahit dan membuat badang buluh. Tak payah saya panjangkan cerita bahagian ini. Puratanya, Puan Lijah mendapat dua ringgit sehari. J.M. Aziz tidak boleh menulis kerana tangannya tidak berkuasa. Dipinta salah seorang anaknya menulis. Pemikirannya seakan-akan menjadi lebih tajam. Maka lahirlah puisi-puisi baru dan lama yang bertemakan kisah nelayan, kebudayaan, agama, keindahan ciptaan Tuhan. Dalam puisinya kita tidak akan jumpa…..

LAKI-LAKI : Rintihan jiwa yang kecewa, tidak ada perasaan iri hati atau dendam kepada orang yang tidak peka dengan kemelaratan orang lain sebab mereka selalu hidup mewah dengan tidak ada batasan. Dan, Puan Lijah ialah seorang isteri yang tinggi hemah dan peri kemanusiaannya. Teringat saya sebuah kisah benar yang ditulis oleh Hugh Clifford masa beliau bertugas di Pahang sebagai Residen British.

(Muzik sekejap)

(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia(peny),2003.
Drama Malam Ini Penyu Menangis dalam teks
Mutiara Sastera Melayu Moden
Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka halaman 247-248)

(a) Apakah yang boleh difahami dengan kenyataan, “Penyakit itu tidak dapat menyentuh jiwanya; cuma tubuh badannya saja”                                                                                                                            [ 4 ]
(b) Berdasarkan petikan di atas, bincangkan perwatakan Cik Lijah.                                                       [ 9 ]
(c) Huraikan empat mesej yang terdapat dalam drama Malam Ini Penyu Menangis.                                [12]

BAHAGIAN D : SAJAK

Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini.

7. Baca petikan di bawah dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Pada Setiap Kali Kau Tiba, Ogos
Kemala

Pada setiap kali kau tiba, Ogos
bumi dan hati ini
melapangkan ruang buat kata hikmah
harga diri
awan hitam semalam
awan hitam belenggu
terbenam di kaki hari.

Bukan gerimis
tapi taufan
bukan pesimis
tapi pahlawan
seribu, dua ribu tak bernama gugur tak bertanda
memeluk kemerdekaan dalam diam
syahdu yang dating adalah sepi hening
bukan nestapa
tapi gelegak
bukan duka
tapi ombak
gelegak ombak penampil bicara


(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia(peny),2003.
Mutiara Sastera Melayu Moden
Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka halaman 280)


Berdasarkan sajak Pada Setiap Kali Kau Tiba, Ogos karya Kemala:

(a) Huraikan maksud keseluruhan sajak ini.                                                                                           [12]
(b) Jelaskan nilai kemasyarakatan yang terdapat dalam sajak ini.                                                            [ 4 ]
(c) Berikan tiga gaya bahasa sajak ini beserta contohnya.                                                                       [ 9 ]

8. Baca petikan di bawah dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Bulan Berdarah
Nahmar Jamil

Setiap kali kuintip bulan indah
setiap kali ia berubah wajah
bulan yang kukenali kini bukan bulan dulu
bulan yang kupandangi bagai ketuaan ditelan waktu

Dulu aku bersorak gembira dan tertawa
melihat bulan kanak tidak mengenal diam
dulu aku dikejar rindu, berahi dan dendam
melihat bulan remaja mengepak gagah perkasa.

Bulan yang kukenali kini bulan Islam
bulan yang tidak mengenal geografi bumi
bulan yang tidak mengenali asyabiah putih atau hitam
bulan yang bertanah air akidah bersempadan ukhrawi.

Bulan yang dipandang kini menitis darah dan basah
menitis di negeriku, di Afghanistan, Iran dan Iraq
menitis di setiap benua di mana berteduh pucuk akidah
aku bertanya akan hikmahnya kapan berhenti atau tidak.

Bulan berdarah menitis di tubuhku dan aku menangis
bersama rakyat Palestin, Moro, Pattani, Eritrea dan
semua yang tergilis
aku bertarung di negeri menegakkan manhaj kedaulatan
di tengah sengketa puak antara kebatilan dan kebenaran.

Bulan berdarah menitis dan mendepani kurun
kurun serigala menerkam mangsa seperti di Sahara Afrika
tetapi aku bangkit dengan luka tanpa mengenal putus asa
akidahku pantang dicabar meski dijejal mayat bertimbun.

Bulan berdarah menitis dan mata enggan lelap
aku memimpikan arus merah bertukar arus para syuhada
apabila semua dikembalikan kepada janji padu dan tegap
janji kemenangan al-ummah di kehadiran awal keagungannya.

(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia(peny),2003.
Mutiara Sastera Melayu Moden
Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka halaman 294-295)

Berdasarkan sajak Bulan Berdarah karya Nahmar Jamil:

(a) Huraikan dua perkara yang dikesalkan oleh penyajak dalam sajak.                                                   [ 9 ]
(b) Jelaskan dua mesej yang terkandung dalam sajak ini.                                                                        [ 8 ]
(c) Huraikan empat ciri sajak ini.                                                                                                           [ 8 ]











KERTAS SOALAN TAMAT

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Bawah Artikel