Soalan dan Skema PKBS 2 Pertengahan Tahun Kelantan

SULIT
922/2
Kesusasteraan Melayu
Kertas 2
JUN 2011
3 Jam


MAJLIS PENGETUA SEKOLAH MENENGAH
CAWANGAN KELANTAN

PEPERIKSAAN KENDALIAN BERASASKAN SEKOLAH 2
(PERTENGAHAN TAHUN)

SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA 2011
(MALAYSIA HIGHER SCHOOL CERTIFICATE)



KESUSASTERAAN MELAYU

KERTAS 2

(Penghayatan Kesusasteraan Melayu Moden)

Masa : Tiga Jam


Arahan kepada calon:

JANGAN BUKA KERTAS SOALAN INI SEHINGGA ANDA DIBENARKAN BERBUAT DEMIKIAN.

Jawab empat soalan sahaja: satu soalan daripada tiap-tiap Bahagian A, B, C, dan D.

Markah untuk tiap-tiap soalan diberikan dalam tanda kurung [ ].




Kertas soalan ini mengandungi 10 halaman bercetak

STPM 922/2

Bahagian A : SEJARAH KESUSASTERAAN MELAYU MODEN DAN KRITIKAN SASTERA.

Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini.

1. “Persoalan nasionalisme dan ekonomi dalam karya-karya awal Kesusasteraan Melayu moden telah pun bermula sejak tahun1930-an”.

Berdasarkan pernyataan di atas,

a. Nyatakan dua golongan penulis yang terlibat dalam membawa persoalan di atas serta berikan nama dua tokoh tersebut. [ 4 ]

b. Jelaskan dengan memberikan contoh, dua bentuk persoalan ekonomi dan dua bentuk persoalan nasionalisme pada tahun 1930-an. [12]

c. Huraikan tiga faktor yang menyebabkan persoalan nasionalisme dan Ekonomi diperkatakan dalam karya-karya sastera tahun 1930-an. [ 9 ]


2. ASAS 50 merupakan badan penggiat bahasa dan sastera yang prolifik dalam
perkembangan kritikan kesusasteraan Melayu sebelum merdeka.
Berdasarkan pernyataan di atas ,


a) Nyatakan dua tokoh penulis ASAS 50 yang terlibat dalam genre kritikan [ 4 ]

b) Huraikan tiga peranan ASAS 50 dalam perkembangan genre kritikan [ 9 ]

c) Jelaskan empat corak kritikan pada era ASAS 50 [12]
















BAHAGIAN B : GENRE NOVEL DAN CERPEN


Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini.

3. Baca petikan novel di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya;

“ Memang nak baliklah. Tapi saya ini susah sikit, Pak Salim.” Sudin berhenti di situ lalu menuangkan oren dari botol ke dalam gelas besar yang berisi ketul-ketul ais. Dia kemudian mengangkat gelas itu, minum agak banyak sekali gus. Kemudian katanya, “Orang tua itu tak habis-habis nak marah saja.”
“ Marah macam mana?” Pak Salim berdiri di hujung meja memerhatikan Sudin seperti kehairanan.
“ Takkan Pak Salim tak tahu. ” Sudin memandang muka Pak Salim, menguji.
Pak Salim datang dekat lalu duduk di seberang meja di hadapan Sudin. Muka Pak salim berkilat seperti berminyak. Muka itu juga berkedut-kedut, kurang daging banyak kulit. Janggut dan misainya jarang-jarang dan tidak bercukur. Semak nampaknya. Tetapi air muka itu jernih dan sentiasa senyum. Dia melihat ke muka Sudin.
“ Imam itu bukan apa. Dia tak suka dikacau. Sekarang ini dia bertambah susah nampaknya.”
“ Susah macam mana?”
“ Susahlah. Orang kampung berpecah-pecah. Budak-budak muda selalu bergaduh. Tak macam dulu, masa kami muda-muda, kampung ini aman. Kalau ada selisih faham, cakap imam dan ketua kampung didengar orang”

( Dipetik daripada Keris Mas,2003.Saudagar Besar dari Kuala Lumpur.
Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 88-89 )



(a) Dengan memberikan contoh, huraikan tiga teknik penceritaan dan keberkesanannya yang terdapat dalam petikan di atas [ 9 ]

(b) Huraikan dua mesej dalam petikan tersebut [ 4 ]

(c) Jelaskan empat perwatakan negatif Sudin dalam novel ini. [ 12 ]













4. Baca petikan di bawah dengan teliti , kemudian jawab soalan-soalan yang mengikutinya

Mula-mulanya dia enggan bersetuju. Bukan mudah dia hendak memulakan kehidupan baru di kampung itu. Semuanya baru. Serba-serbinya baru. Jerami huma tidak ada walaupun sebidang – hendak bertanam lada di mana? Sepohon pokok durian pun tidak ada – musim buah kelak hendak makan apa? Kalau dia kekal di Tembaga, sebanyak sedikit bakti tulang uratnya sudah mengeluarkan hasil.
Tetapi, perubahan itu memaksa dia menukar cara hidupnya juga. Perubahan yang datang dalam mimpi.
(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (peny.) , 2003 ,
Cerpen “Garis Panorama” dalam Mutiara Sastera Melayu Moden.
Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 76)


a). Siapakah yang dimaksudkan ’dia’ dalam petikan di atas.dan nyatakan
perkara-perkara yang dialami oleh watak ‘dia’ selang beberapa hari selepas
mimpi. [ 7 ]

b). Jelaskan tiga persoalan yang terdapat dalam cerpen tersebut [ 9 ]

c). Huraikan citra masyarakat yang dipaparkan dalam cerpen tersebut. [ 9 ]
























Bahagian C : Drama


Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini

5. Baca petikan drama di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

RAHIMAH: Inilah kerja abang…..patutlah selalu balik jauh-jauh malam.

DAHLAN: Ah, bising saja. Jangan ambil tahu hal orang jantan. Kau selalu salah sangka, cemburu buta, tak boleh orang jantan berjalan-jalan sedikit.

RAHIMAH: Ya, jalan-jalan dengan betina-betina pisau cukur.Berdancing dan bersuka ria tak sedar , asyik minum saja.

DAHLAN: Apa? ( Berpaling memandang Rahimah).Berdancing, berjalan-jalan dengan pisau cukur ?...Siapa cakap ? Suka dengar fitnah.

RAHIMAH: Tengok bukti?....Apa ini? (menunjuk gincu merah di baju Dahlan). Lipstik siapa? Rumahtangga hampir nak roboh, abang belum sedar-sedar diri dan insaf…berkali-kali Mah ingatkan abang. Bersosial yang bukan-bukan, asyik minum, rumah tangga tak pedulikan. Orang gaji lari tak berbayar gaji. Hutang bertompok-tompok tak berbayar.

DAHLAN: Kau betul cemburu buta. Kalau dah orang kampung, kampung juga. Siapa orangnya yang kau .Cemburukan? ( Duduk mencapai suratkhabar).

RAHIMAH: Siapa lagi, betina yang dalam hati abang. Abang senang dah terkena. Tak memilih orang.

( Majlis Peperiksan Malaysia (peny.), 2003. Drama “Lawyer Dahlan”
Dalam Mutiara Sastera Melayu Moden, hlm 210, Kuala lumpur.DBP)



a) Nyatakan latar masa dan latar tempat yang terdapat dalam petikan di atas.[ 4 ]

b) Huraikan tiga konflik watak Rahimah yang terdapat dalam drama. [ 9 ]
c) Jelaskan tiga watak positif dan tiga watak negatif Rahimah. [ 12 ]








6. (a ) Dengan mengemukakan contoh-contoh yang sesuai, huraikan empat persoalan yang ingin dikemukakan oleh Nordin Hassan melalui dramanya Malam Ini Penyu Menangis. [16]

(b) Drama Malam Ini Penyu Menangis dikatakan sebuah drama bukan realisme. Jelaskan tiga bukti yang menunjukkan drama ini dikategorikan sebagai drama bukan Realisme. [ 9 ]






































Bahagian D : SAJAK

Jawab satu soalaan sahaja dalam bahagian ini.

7. Baca sajak di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Keindahan Yang Hilang
Shamsuddin Jaafar

I
Sayup-sayup undan tua berlagu hiba
terbang beriring di rembang petang
renik-renik mengirai bulu carik
melayang satu-satu berbaur debu
lesu berapungan di air lalu 5

Daun-daun menghijau alangkah segar
kemilau danau disinar mentari
kali tenang betapa lembut mengalir ke muara
kedamaian melingkar rimba
lalu tumpah kasih nan jernih 10
erat bertaut cinta kasih

Malam hiba dadanya ungu luka
pungguk tersendu pilu di atas batu
bulan tiada lagi mendandan wajah
bintang malam pudar sinarnya. 15

II
Orang bicara bulan bintang di makmal
pada buku, data dan computer
lalu bulan dan cakerawala bias diteroka
bisa kembara di planet dan angkasa

Undan patah sayap gugur bulunya bertaburan 20
suara siapa parau mendera di malam lara
kali tenang tiba-tiba airnya bengis melanda
kepada siapa anak-anak kota desa berhutang nyawa?

III

Bulan kini bukan lagi menara kasih jernih
bintang-bintang bukan lagi saksi sumpah kekasih 25

(Majlis Peperiksaan Malaysia (peny.),2003 hlm. 286
Mutiara Sastera Melayu Moden.
Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.


a) Jelaskan tema sajak di atas [ 3 ]

b) Huraikan nada sajak pada rangkap 2 dan 3 sajak di atas [ 6 ]

c) Dengan memberikan contoh, huraikan empat gambaran
Masyarakat yang terdapat dalam sajak tersebut. [16]







































8. Baca sajak di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Kunci
T.Alias Taib

May Verse be like a key
That opens a thousand doors
-Vicente Huidobro

Dengan seberkas kunci di tangan
kubuka seribu liang luka
yang sekian lama tertutup
kubiarkan seribu gabus duka
yang mengapung di dalam dada 5
berkumpul di depan matamu
agar kau mengerti:
makna makmur di tengah lapar
makna harmoni di tengah inflasi
makna mewah di tengah gundah 10

Dengan seberkas kunci di kaki
kumasuki seribu pintu berliku
yang berisi pula seribu
ratap dan harap yang tak terjawab
umpamanya seorang buruh suatu petang 15
yang sedang membersihkan longkang
sebagai ganti daun kering dan kotoran
ia menyapu potongan-potongan nasib
serpihan-serpihan masa depan dan
doa teman-temanya yang bertaburan 20

Dengan seberkas kunci di mata
kulihat seribu keajaiban
seribu teka-teki dan misteri hidup
yang cukup sulit dan berbelit
bagai jalan ke puncak Kinabalu 25
kadangkala ada mula tak ada akhir
kadangkala ada akhir tak ada mula
kadangkala tak ada mula tak ada akhir

Dengan seberkas masalahku di kepala
kubaling jauh-jauh kunci di mataku. 30

(Majlis Peperiksaan Malaysia(peny.), 2003
Mutiara Sastera Melayu Moden
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



(a). Nyatakan gaya bahasa dalam rangkaikata di bawah dan jelaskan definisi serta keberkesanannya.

i) kubiarkan seribu gabus duka [ 3 ]

ii) ia menyapu potongan-potongan nasib [ 3 ]

iii) makna makmur di tengah lapar
makna harmoni di tengah inflasi
makna mewah di tengah gundah [3 ]

iv) kadangkala ada akhir tak ada mula [ 3 ]


(b) Jelaskan dua nilai kemanusiaan yang dipaparkan dalam sajak di atas [4 ]

(c) Huraikan mesej yang ingin dikemukakan oleh penyajak. [ 9 ]











KERTAS SOALAN TAMAT

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Bawah Artikel