Selasa, 12 Jun 2012

Kajian Seloka Pak Pandir


SELOKA, KRITIKAN TAJAM DALAM GURAUAN
Seloka ialah sejenis puisi Melayu tradisional yang tidak mempunyai struktur yang khas seperti pantun atau syair. Mengikut Zaaba, seloka ialah karangan berangkap yang memakai pertentangan bunyi hujung (rima) yang tiada tetap. Bilangan baris pada sebuah seloka adalah tidak terhad dan bilangan baris pada satu rangkap juga tidak menentu. Seloka juga tidak mempunyai skima rima yang tetap. Oleh itu boleh dikatakan seloka lebih mirip kepada ciri free verse iaitu bentuk puisi moden yang dikenali sebagai sajak pada masa ini.
Seperti kebanyakan puisi tradisional yang lain, ciri-ciri seloka boleh dikenali melalui isinya dan tujuan ia dikarang. Seperti yang diketahui umum, gurindam digubah untuk menyampaikan nasihat dan panduan, Nazam digunakan untuk menyampaikan kisah dan puji-pujian terhadap Allah dan Nabi Muhammad s.a.w., teromba merupakan puisi yang menyampaikan perbilangan adat dan peraturan bermasyarakat, manakala mantera adalah jampi serapah yang bertujuan mengubat pesakit. Seloka pula dikarang untuk menyampaikan kritikan dan sindiran terhadap sesuatu kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat. Kritikan dan sindiran ini amat tajam dan disampaikan secara berlapik dan berkias dalam nada bergurau.
Melalui seloka akan terpancar budaya masyarakat Melayu tradisional yang tidak mengkritik secara berterus terang tetapi secara halus. Kata-kata yang digunakan di dalam seloka adalah lambang-lambang yang mengandungi makna yang tersirat. Seperti kebanyakan karya di dalam khazanah Melayu tradisi, kita tidak mengetahui siapakah pengarang sebenar sesebuah seloka. Namun dari seloka yang kita warisi, terbukti bahawa pengarang seloka adalah pemikir yang amat tajam pemerhatiannya terhadap alam dan masyarakat di sekeliling. Mereka peka terhadap segala yang berlaku dan menjalankan tanggungjawab bagi menyampaikan teguran dan kritikan. Pengarang seloka menggunakan perbandingan dan tamsilan seperti perumpamaan, metafora, simile dan personifikasi yang kaya dengan imej alam. Imej-imej alam ini perlu ditafsir untuk mengetahui maksud sebenar seloka.
Warisan Melayu telah meninggalkan sejumlah seloka untuk dihayati. Untuk mengenal seloka dengan lebih dekat kita akan menganalisis tiga buah seloka yang paling terkenal di dalam masyarakat Melayu iaitu:
1. Seloka Pak Kaduk,
2. Seloka Pandai Pak Pandir
3. Seloka Mak Si Randang
Ketiga-tiga seloka di atas adalah berdasarkan cerita rakyat atau cerita jenaka yang terkenal di dalam sastera Melayu. Pak Kaduk dan Pak Pandir merupakan watak-watak yang ditimpa malang. Nasib malang itu adalah akibat daripada kebodohan mereka sendiri. Mereka telah melakukan perbuatan-perbuatan yang merugikan diri sendiri. Seloka Mak Si Randang adalah berdasarkan cerita rakyat masyarakat Minangkabau yang mengisahkan seorang ibu yang terlalu pemurah dan sanggup memberikan segala yang ada kepada orang lain
 
Seloka Pak Pandir

Anak dipijak,dagang dijinjing
Kucing dibunuh, tikus dibela
Harta habis, badan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh di langit
Air tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak
Gunting makan di hujung
Pak Pandir juga yang menanggung
Apa didengar gelagat dagang
Gelagak rambutan jantan
Orang berbunga dia berbunga
Orang berbuah dia haram
Kilat memancar hujang tak lalu
Awak juga berkecundangan
Seloka di atas adalah perihal kelakuan Pak Pandir yang salah pertimbangan dan sering membuat kerja-kerja yang tidak sepatutnya dilakukan. Pak Pandir berbuat baik tidak pada tempatnya. Dia berbuat baik dengan menjinjing dagang tetapi berlaku kejam dengan perlakuannya “memijak” anak sendiri. Dia telah membunuh kucing iaitu sejenis binatang yang dikaitkan dengan kemanjaan tetapi telah membela tikus iaitu sejenis haiwan yang boleh merosakakan kesihatan dan harta benda. Kerana kebodohan dan kebaikannya yang melampau itu, Pak Pandir mudah ditipu. Dia mudah percaya kepada orang asing (Mendengar gelagak dagang,Tak sedar bertelanjang) Akibatnya, harta habis,badan tergadai. Pak Pandir juga sering mengambil risiko tanpa berfikir panjang. Hal ini digambarkan melalui peribahasa Mendengar guruh di langit,Air tempayan dicurahkan. Ternyata dagang yang dijinjingnya adalah penipu yang licik yang berpura-pura baik Hal ini dijelaskan melalui ungkapan mulut kena suap pisang,Buntut kena cangkuk onak,dan gunting makan di hujung Pak Pandir juga yang menanggung Apa didengar gelagat dagang Gelagak rambutan jantan Orang berbunga dia berunga Orang berbuah dia haram Kilat memancar hujang tak lalu Awak juga berkecundangan .

Sebahagian besar dari maksud Seloka Pandai Pak Pandir disampaikan melalui peribahasa. Oleh itu ia menunjukkan dengan jelas hubungan yang rapat antara seloka dan peribahasa. Di sini terdapat sekurang-kurangnya empat ungkapan yang merupakan peribahasa yang terkenal.
1. Mendengar guruh di langit air tempayan dicurahkan,
2. Mulut kena suap pisang,buntut kena cangkuk onak,
3. Gunting makan di hujung
4. Gelagak rambutan jantan, orang berbunga dia bebunga. orang berbuah dia haram

Dipetik daripada tulisan,
Zurinah Hassan

Bahan ini sesuai untuk dijadikan edaran kepada pelajar tingkatan enam rendah untuk penghayatan sastera di bawah tajuk puisi tradisional untuk tajuk SELOKA.

Berikut ialah cadangan aktiviti berdasarkan edaran di atas.
Aktiviti 1: Jelaskan teknik penulisan seloka (ciri-ciri) dan di seseuaikan dengan seloka Pak Pandir (selaras dengan sukatan pelajaran )

Aktiviti 2: Huraikan peranan seloka dalam konteks masyarakat melayu tradisional

Aktiviti 3: Bincangkan aspek estetika bahasa dalam seloka Pak Pandir.

Aktiviti 4: Menjelaskan perwatakan negatif yang ada pada watak pak pandir.

Untuk mendapat keterangan lebih lanjut berhubung dengan skema jawapan(dalam bentuk power point) bagi setiap aktiviti yang dicadangkan bolehlah berhubung terus dengan Cikgu Ahmad Yani Salleh menerusi talian telefon 014-5367128.

1 ulasan:

  1. salam....boleh saya bertanya,apakah keindahan bahasa di dalam seloka pak pandir

    BalasPadam