Kepentingan Karya (Pantun) dalam konteks sarwajagat (world view) Masyarakat Melayu Tradisional

Contoh soalan:
Jelaskan peranan dan kedudukan pantun dalam masyarakat Melayu Tradisional.

Pantun memainkan peranan dan kedudukan  yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu Tradisional. Peranan dan kedudukan pantun antara lain ialah sebagai alat hiburan. Dinyanyikan atau dilagukan untuk tujuan bersenda gurau, bermain-main, usik-mengusik dan menghibur hati. Contohnya pantun jenaka, pantun dua kerat dan pantun teka-teki.
       Ambil segulung rotan sega,
           Sudah diambil mari diurut;
      Duduk termenung harimau tua,
           Melihat kambing mencabut janggut.

Pantun juga berperanan sebagai gambaran masyarakat dari segi politik, ekonomi dan sosial. Di dalam pantun terselit mesej untuk perkara tersebut. Memberi nasihat dan pandangan kepada tiga perkara yang disebutkan tadi. Walaupun ringkas tapi kental serta padat untuk memberi teguran dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. sesiapa yang berkaitan sudah pasti akan terkena dengan sindiran dan kiasan yang begitu tepat sekali, tapi secara bersopan.
     Anak dara pergi ke judah,
         Sampai di judah berperi-peri;
     Menjual suara bukannya mudah,
        Hendak mencari nafkah sendiri.

Seterusnya dalam ucapan yang disampaikan oleh seorang pemimpin, unsur-unsur pantun digunakan sebagai pembukaan dan penutup ucapan. Dalam bahagian pembukaan dilukiskan sebagai kata-kata aluan kepada pendengar atau ucapan terima kasih kepada penganjur. Manakala dalam bahagian penutupnya selalu di sampaikan pantun seperti;
     Kalau ada sumur di ladang,
       Boleh kita menumpang mandi;
     Kalau ada umur pamjamg,
       Boleh kita berjumpa lagi.

Pantun juga boleh digunakan sebagai alat komunikasi bertaraf tinggi seperti dalam upacara adat dan adat-adat seperti adat meminang dan sebagainya. Pantun yang dikeluarkan menunjukkan komunikasi orang Melayu begitu bersopan sekali. Orang melayu tidak akan berkomunikasi secara terangan kerana dikhuatiri akan menyinggung perasaan orang yang dilawan berkomunikasi. 
      Berkokok ayam dari hulu,
        Ditangkap budak sedang berlari;
     Angin memukul gelombang memalu,
        Sebab berhajat kita ke mari. 
Seterusnya pantun berperanan sebagai alat didaktik iaitu memberi panduan, nasihat, tunjuk ajar dan sindiran atau kritikan. Misalnya melalui pantun nasihat, pantun budi dan pantun kanak-kanak. Setiap yang disampaikan senang diterima kerana penyampaiannya secara puitis dan indah sekali.

     Pantun juga berperanan sebagai penyampai maksu atau curahan rasa hati, terutama di kalangan orang-orang muda yang sedangkan berkasih-kasihan. Contohnya melalui pantun kasih. Setiap kata yang bakal disampaikan akan disusun dengan penuh indah dan menarik hati orang yang akan dilawan berbicara. Pantun dalam jenis ini sungguh mengasyikkan.

     Tegasnya di sini pantun menggambarkan cara berfikir dan nilai-nilai masyarakat Melayu tradisi. Melalui pantun orang Melayu mengeluarkan rasa hati dan keluhan jiwa, seperti dalam bentuk kasih sayang, cinta, suka duka, sindir menyindir dan berbagai-bagai perasaan hati mereka yang diungkapkan dalam bahasa yang indah dan menarik.

     Dalam pantun juga kita akan dapat melihat akan keindahan atau estetik masyarakat Melayu itu sendiri kerana sikap orang Melayu yang tidak suka bercakap secara berterus terang. Misalnya melalui pantun kias ibarat. Melalui pantun seperti ini orang Melayu sendiri telah dilatih supaya berfikir secara tinggi. Orang yang tidak boleh berfikir secara mendalam sudah pasti tidak akan dapat mengesan maksud yang disampaikan.

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Bawah Artikel