Rabu, 6 Jun 2012

Senarai Puisi Tradisional Dalam Permata Sastera


Penghayatan Sastera (Penggal 1) Senarai Puisi Tradisional   
Assalamualaikum buat semua yang mengikuti blog saya, berikut antara puisi tradisional yang sempat saya cari untuk dimanfaatkan dalam P&P bagi penghayatan sastera untuk penggal satu. Ianya bolehlah digunakan untuk mengajar pelajar sebelum teks Permata sastera dipasarkan di pasaran.
Senarai Puisi Tradisional:

1.0 Pantun
1.1 Pantun Budi (3)

Pisang emas dibawa belayar,
                Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
                Hutang budi dibawa mati.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
                Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
                Budi yang baik dikenang juga.

Tenang-tenag air dilaut
                Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut tersebut,
                Budi yang baik rasa nak junjung.

1.2 Pantun Agama(2)
Banyak hari antara hari,
       Tidak semulia hari jumaat,
Banyak nabi  antara nabi,
        Tidak semulia Nabi Muhammad.

Anak Ayam turun sepuluh,
          Mati seekor tinggal sembilan,
Bangun pagi sembahyang subuh,
           Minta ampun kepada Tuhan.

1.3 Pantun kasih sayang (2)

Dari mana pipit melayang,
       Dari paya turun ke padi;
Dari mana datangnya sayang,
      Dari mata turun ke hati

Air dalam bertambah dalam,
     Hujan di hulu belumlah teduh;
Hati dendam bertambah dendam,
     Dendam dahulu belum sembuh.

1.4 Pantun nasihat (2)

Tanam bunga di dalam pasu,
      Bunga melati bunga pandan;
 Jangan ikut hawa nafsu
      Kelak nanti binasa badan

Burung tiong terbang tinggi,
                Burung merpati mencari sarang,
Kalau sombong meninggi diri,
                Ke mana pergi dibenci orang.


 3.0 Seloka
Seloka Pak Pandir

Anak dipijak dagang dijinjing
Kucing dibunuh tikus dibela
Harta habis badan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh dilangit
Air di tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang
Buntut kera cangkuk onak,
Gunting makan di hujung
Pak pander juga menanggung.
Apa didengar gelagak dagang
Gelagak rambutan jantan:
Orang berbunga , dia berbunga
Orang berbuah, dia haram
Kilat memancar hujan tak jadi
Awak juga berkecundangan.

4.0 Gurindam
4.1 Gurindam Taat Setia Rakyat Kepada Raja

Raja muafakat dengan menteri
Seperti kebun berpagar duri.

Betul hati kepada raja,
Tanda jadi sebarang kerja.

Hukum adil atas rakyat,
Tanda raja beroleh inayat.

Kasihkan orang yang berilmu,
Tanda rahmat atas dirimu.

Hormat akan orang pandai,
Tanda mengenal  kasa dan cindai.
 
4.2 Gurindam Norma-norma yang baik dalam perhubungan suami isteri.

Isteri cantik permainan mata,
Isteri budiman tajuk mahkota.

Perempuan bagus suntingan dunia,
Perempuan beriman sangat mulia.

Suami isteri harus sekata,
Jauh segala silang sengketa.

Suami tempat isteri bergantung,
kepadanya serahkan nasib dan untung.

Jika suami tak berhati lurus,
Isterinya kelak jadi kurus.

Sungguh suami pegang kuasa,
Jika seorang ia binasa.

Suami isteri tubuh yang dua,
Sekata hendaknya sampaikan tua.


5.0 Talibun
Talibun Keindahan dan kemakmuran Negeri

Medannya indah bukan kepalang
Rantaunya luas bagai dibentang
Tebingnya tinggi bagai diraut
Pasirnya serong bentuk taji
Batunya ada  besar kecil
Yang kecil pelontar balam
Jikalau untung kena ke balam
Jikalau tidak kena ke tanah
Mendera selawat ibu ayamm
Helang disambar punai tanah.
Seumpama  kundur dengan labu
Kecil pohon besar buahnya
Negerinya beruntung bandar rayanya bertuah
Cari di daratboleh di darat
Cari di laut boleh di laut
Ayam itik penuh di reban
Lembu kerbau penuh di tengah padang
Gajah badak penuh tengah hutan
Sejuk dingin seperti ular cintamani
Di negeri Teluk Bidung Kota Lama.
 
6.0 Teromba (Pembetulan)
Teromba Adat

Hidup dikandung adat,
Mati dikandung tanah.

Adat dipakai baru,
Kain dipakai usang.

Yang elok dipakai,
Yang buruk dibuang.

Lembaga berlingkungan,
Undang kelintasan.

Duduk meraut ranjau,
Tegak meninjau jarah.

Ke darat Adat Pepatih,
Ke laut Adat Temenggung.

Ke laut berteromba,
Ke darat bersalasilah.

Adat bersendi hukum,
Hukum bersendi Kitab Allah.


7.0 Mantera
7.1 Mantera Ulit Mayang

Aku tahu asal usulmu,
Seri Bersila nama asalmu,
Seri Berdiri nama batangmu,
Seri hidup asal usulmu,
Seri Menempak nama daunmu,
Seri Guntur nama bungamu,
Seri Gintir nama buahmu.

Aku tahu asal usulmu,
Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan tuan puteri,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan  puterinya empat,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya enam,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya tujuh,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Ulit mayang diulit,
Ulit dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan  tuan puteri,
Kutahu asal usulmu,
Yang laut pulang ke laut,
Yang darat pulang ke darat,
Nasi berwarna hamba sembahkan.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Pulih mayang kupulih,
Pulih balik sedia kala.

Mentera Menduduki Rumah Baru

Bismi'llahi 'l-Rahmani'I-Rahim
Tepung tawar tepung jati
Ketiga dengan tepung kedangsa
Jika boleh kehendak hati
Jangan sakit jangan mati
Jangan c ela jangan binasa
Jangan punah jangan ranah
Tepung tawar tepung jati
Ketiga dengan tepung kedangsa
Naik emas berkati-kati
Naik orang beribu laksa
Tepung tawar semula jadi
Barangku citaku perolehi
Berkat di pengajaran guruku
Allah menawar, Myhammad menjampi
Dengan berkat doa
La ilaha 'illallah, Muhammad Rasulullah.

4 ulasan:

  1. Terima kasih banyak-banyak cikgu Ahmad Yani, sangat berguna kepada kami yang belum dapat buku teks. Buku teks sudah ditempah, masih dalam perjalanan, pihak DBP sudah pos minggu lepas.

    BalasPadam
  2. maaf boleh x saye nk dapat kn nota2 daripada setiap puisi dan gurindam

    BalasPadam
  3. terima kasih...kami sudah
    mendapat mendapatkan buku tersebut..PERMATA SASTERA MELAYU...tp pada mulanya kmi pun menggunakan laman web ni untk jadi rujukan kerna bku bru smpai smlm...terima ksh byk2.

    BalasPadam
  4. kat mana saya boleh beli buku permata sastra mlayu...
    sesiapa ada info..
    please bagi tahu..

    BalasPadam