PENGANTAR PUISI TRADISIONAL (penghayatan sastera Penggal 1)

Jenis Puisi:(Petikan Puisi Tradisional – Harun Mat Piah)
1.1.1    Pantun
            i.          Pantun Budi (3)
            ii.         Pantun Agama (2)
            iii.        Pantun Kasih sayang (2)
            iv.        Pantun Nasihat (2)

1.1.2   Syair
            -           Syair Ikan Terubuk

1.1.3   Seloka
            -           Pak Pandir

1.1.4   Gurindam
            i.          Norma-norma yang baik dalam perhubungan suami isteri
            ii.         Taat Setia Rakyat kepada Raja

1.1.5   Talibun
            -           Keindahan dan Kemakmuran Negeri

1.1.6   Teromba
            -           Teromba Adat

1.1.7   Mantera
            i.          Ulit Mayang
            ii.         Menduduki Rumah Baru


1.1.1    PANTUN
Definisi:
Harun Mat Piah (1989) telah memberikan definisi pantun berdasarkan aspek dalaman  dan aspek luaran atau struktur visualnya. Aspek dalaman pantun meliputi unsur estetik dan isi(tema dan persoalan). Unsur estetik pantun dapat dilihat berdasarkan dua aspek. Pertama, yang berkaitan dengan penggunaan lambing-lambang tertentu yang terdapat dalam pantunmengikut tanggapan dan pandangan dunia masyarakat Melayu, dan yang kedua, berdasarkan hubungan makna antara pasangan pembayangdengan pasangan maksud sama ada secara konkrit atau abstrak.

Ciri-ciri pantun : Dari aspek strukturnya :
1. Pantun mempunyai rangkap-rangkap yang berasingan. Setiap rangkapnya terbina daripada baris-baris yang sejajar dan berpasangan seperti 2,4,6 sehingga 16. Rangkap pantun yang paling umum ialah yang mempunyai empat baris serangkap. Pembentukan rangkap berdasarkan baris ini telah menjeniskan pantun Melayu iaitu pantun dua kerat (pameo/kilat), pantun emapt, pantun enam kerat dan seterusnya hingga pantun enam belas kerat. Terdapat juga pantun yang wujud secara berkait yang dinamakan pantun berkait dan biasanya dalam bentuk empat kerat.
2. Setiap baris mengandungi kata dasar antara empat hingga lima patah perkataan, dengan jumlah suku kata antara lapan hingga dua belas. Yang biasanya ialah lapan hingga sepuluh suku kata dalam sebaris.
3. Setiap stanza atau rangkap pantun mempunyai unit atau kuplet iaitu unit atau kuplet pembayang atau sampiran (separuh jumlah baris pertama) dan unit maksud (separuh jumlah baris bahagian kedua)
4. Mempunyai skema rima hujung yang tetap iaitu a-b,a-b bagi pantun empat kerat, a-b-c,a-b-c bagi pantun enam kerat (dan seterusnya), dan a-a bagi pantun dua kerat
5. Setiap rangkap pantun merupakan satu keseluruhan, iaitu mengandungi satu fikiran yang bulat dan lengkap yang dapat dikesan melalui maksud pantun dalam rangkap tersebut.

Dari aspek visual (dalaman pantun) :
1. Penggunaan lambing-lambang tertentu yang terdapat dalam pantun mengikut tanggapan dan pandangan dunia masyarakat Melayu
2. Hubungan makna antara pasangan pembayang dengan pasangan maksud sama ada secara konkrit atau abstrak.

B. Penjenisan pantun : Berdasarkan tiga aspek
1. Suduk Khalayak (penutur dan pendegar pantun)
a. Pantun kanak-kanak - Pantun yang bermaksud nasihat terutamanya menyentuh alam pendidikan
b. Pantun orang dewasa / orangmuda – Pantun yang bertemakan kasih sayang, usik mengusik, kepahlawanan, adat resam, budi, nasihat dan sebagainya.
c. Pantun orang tua – Pantun yang mngandungi maksud nasihat, kias ibarat, adat resam serta mengandungi nilai kemasyarakatan dan kebudayaan.
2. Sudut bentuk – berdasrkan jumlah dalam setiap rangkap
Mempunyai empat kumpulan :
i. Pantun dua baris / dua kerat (pameo/pantun kilat)
ii. Pantun empat baris / empat kerat (kuatren)
iii. Pantun lebih empat baris ( 6 kerat – 16 kerat)
iv. Pantun berkait.

3. Sudut Tema (sebelas tema)
i. Pantun adat dan resam manusia
ii. Pantun agama dan kepercayaan
iii. Pantun budi
iv. Pantun jenaka dan permainan
v. Pantun teka-teki
vi. Pantun kepahlawanan
vii. Pantun nasihat dan pendidikan
viii. Pantun peribahasa dan perbilangan
ix. Pantun kias dan ibarat
x. Pantun kembara dan perantauan
xi. Pantun percintaan

C. Fungsi Pantun :

i. Digunakan dalam aktiviti masyarakat seperti dalam kegiatn seni, keagamaan, dan adat istiadat.
ii. Sebagai alat komunikasi untuk menyampaikan isi hati dan hajat, seperti sanjungan, pemujaan dan ucapan selamat kepada seseorang dalam sesuatu upacara atau majlis rasmi
iii. Sebagai alat hiburan dan bahan jenaka serta gurau senda, terutamanya pantun jenaka dan pantun usik-mengusik serta pantun dalam permainan
iv. Sebagai alat pendidikan sama ada secara menyindir, kias atau berterus terang.
v. Sebagai alat menguji ketajaman akal dan kehalusan perasaan seperti pantun teka-teki, pantun peribahasa dan pantun yang terdapat dalam puisi adat atau teromba.
vi. Sebagai alat untuk mendapatkan gambaran masyarakat, terutama sebagai gambaran minda dan pemikiran masyarakat Melayu, pandangan hidup, harapan, cita-cita, daya estetik dan perspektif mereka seluruhnya. Oleh itu, banyak sarjana berpendapat bahawa untuk mengenal bangsa Melayu, kenalilah pantun mereka.

D. Teknik penulisan pantun :
• Bentuk terikat
• Rangkap – jumlah baris serangkap ( 2,4,6 hingga 16)
• Rima yang bertentangan a-b, a-b dan seterusnya
• Jumlah perkataan sebaris – 4 hingga 5 patah perkataan
• Jumlah suku kata sebaris – antara 8 hingga 10
• Jeda (hentian sejenak/ ‘pause’) – di antara dua perkataan sebaris
• Pembayang dan maksud dalam serangkap
• Maksud – tema pantun

Contoh huraian :

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbuah lagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.
Pantun ialah puisi Melayu lama berbentuk terikat.

Dari segi rangkap :
Pantun di atas ialah pantun empat baris serangkap atau pantun empat kerat yang terbina dalam baris-baris yang sejajar dan berpasangan.

Buah langsat kuning mencelah, B1
Senduduk tidak berbuah lagi; B2
Sudah dapat gading bertuah, B3
Tanduk tidak berguna lagi. B4

Dari segi rima akhir pantun :
Skema rima akhir pantun di atas adalah bertentangan iaitu a-b,a-b

Buah langsat kuning mencelah, a
Senduduk tidak berbuah lagi; b
Sudah dapat gading bertuah, a
Tanduk tidak berguna lagi. B

Jumlah perkataan sebaris :
Jumlah perkataan sebaris adalah tetap / sekata iaitu di antara 4 patah perkataan.
1 2 3 4
Buah langsat kuning mencelah, 4 p.p.
Senduduk tidak berbuah lagi; 4 p.p.
Sudah dapat gading bertuah, 4p.p.
Tanduk tidak berguna lagi. 4p.p

Jumlah suku kata sebaris :
Jumlah suku kata sebaris adalah tetap iaitu di antara 9 hingga 10 jumlah suku kata sebaris

1 2 3 4 5 6 7 8 9
Bu/ah lang/sat ku/ning men/ce/lah, 9 jumlah suku kata
1 2 3 4 5 6 7 8 9 10
Sen/du/duk ti/dak ber/bu/ah la/gi; 10 jumlah suku kata
1 2 3 4 5 6 7 8 9
Su/dah da/pat ga/ding ber/tu/ah, 9 jumlah suku kata
1 2 3 4 5 6 7 8 9
Tan/duk ti/dak ber/gu/na la/gi. 9 jumlah suku kata

Dari segi jeda :Terdapat hentian sejenak / jeda di antara dua perkataan dalam sebaris

Jeda
Buah langsat / kuning mencelah,
Senduduk tidak / berbuah lagi;
Sudah dapat / gading bertuah,
Tanduk tidak / berguna lagi.

Pembayang (sampiran) dan maksud pantun
Dalam serangkap pantun mengandungi dua unit / kuplet iaitu kuplet pembayang dan kuplet maksud. Baris pertama dan kedua ialah kuplet pembayang dan baris ketiga dan keempat ialah kuplet maksud.

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbuah lagi; Kuplet pembayang

Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi. Kuplet maksud

Dari segi maksud pantun
Lengkap maksud pantun itu dengan serangkap sahaja. Pantun di atas bertemakan budi iaitu perilaku orang yang melupakan sesseorang yang banyak berjasa setelah bertemu orang yang baru dan kelihatan sempurna.

Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

Maksud pantun di atas ditulis secara berkias. Oleh itu perkataan gading dan tanduk dipilih sebagai kiasan. Maksud pantun walaupun ringkas tetapi kerana disampaikan secara kiasan sudah pasti menimbulkan kesan mendalam dan makna yang sangat luas.

1.1.2    Syair
Definisi
Keseluruhan  pengkaji sependapat bahawa istilah syair berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud puisi secara umum. dalam bahasa Melayu, istilah syair sudah menjadi satu istilah yang khusus. syair Melayu tidak beracuankan syair daripada tradisi Arab atau mana-mana puisi Arab-puisi tetapi dalam bentuk dan acuan asli masyarakat Melayu(Harun Mat Piah, 1989). Namun, terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa syair Melayu juga dipengaruhi oleh syair atau puisi Arab(Islam)

1. Ciri-ciri syair

a. Setiap rangkap syair terdiri daripada empat baris serangkap. Ini bermakna tiap-tiap satu rangkap syair mengandungi jumlah baris yang tetap.
b. Setiap baris mengandungi 4 hingga 5 patah perkataan sebaris
c. Suku kata syair sebaris ialah di antara lapan hingga sepuluh jumlah suku kata.
d. Syair mempunyai skema rima akhir baris a-a-a-a
e. Dalam satu baris syair, terdapat suatu hentian (pause).
f. Tiap satu rangkap syair memerlukan beberapa rangkap syair yang berurutan untuk memberi idea yang lengkap.Dengan lain perkataan, syair adalah satu pernyataan yang berlarutan bagi mengemukakan cerita, kisah, buah fikiran, nasihat dan puji-pujian. Sebab itulah syair ada awalan dan akhirannya.

2. Penggolongan jenis syair

a. Syair yang berupa naratif (cerita) termasuklah
i. Syair Sejarah cth. Ini Syair Potong Gaji
ii. Syair Romantis cth. Syair Jeragan Budiman dan Jauhar Manikam
iii. Syair Simbolik/Kiasan cth. Syair Perahu

b. Syair yang berupa bukan cerita (non-naratif) termasuklah
i. Syair Agama cth. Syair Kiamat
ii. Syair Nasihat cth. Syair Kelebihan Ilmu: Ilmu Itu Bekalan Hidup
iii. Syair Teka-teki


3. Fungsi Syair
a. Sebagai hiburan – sesuai dengan sifatnya yang demikian maka syair sering dilagukan dalam majlis-majlis tertentu seperti dalam pesta dan keramaian, dipertandingkan atau dalam upacara-upacara adat.
b. Alat menyampaikan pengajaran melalui cerita dan lagu terutama dalam hal-hal yang menyentuh aspek pengajaran agama Islam dari rukun iman, rukun sembahyang, zakat, puasa dan sebagainya. Kemerduan suara “tukang lagu” dan kelembutan nada syair berupaya mengusik perasaan dan seterusnya meninggalkan kesan yang mendalam.
c. Berfungsi dalam kegiatan kesenian dan kebudayaan masyarakat
i. Ketika sambutan maulud
ii. Dinyanyikan atau dilagukan sebagai mengiringi tarian-tarian tertentu seperti dalam dabus dan boria ke
iii. Digunakan dalam adat perkahwinan
1.1.3  SELOKA
Definisi:
Dari segi  istilah, seloka berasal daripada perkataan Sanskrit, seloka  iaitu sejenis puisi yang terdiri daripada dua baris atau dua kerat, yang setiap satunya mengandungi 16 suku kata, yang disusun dalam empat unit. Dalam kesusasteraan Melayu Tradisional, seloka merupakan sejenis puisi bebas dari segi rangkap (sama ada berangkap atau tidak berangkap). Jika berangkap tidak tentu barisnya dalam serangkap dan tidak tentu jumlah perkataanya dalam sebaris. Seloka juga b oleh jadi mempunyai rima atau tidak. Seloka biasanya memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk melengkapkan keseluruhan idea (Harun Mat Piah, 1989).

            Dari segi bentuk, seloka sama sahaja seperti puisi bebas yang lain seperti gurindam, talibun atau teromba. Walaupun begitu, jika dilihat dari segi isi, puisi ini berbeza antara satu sama lain. Dari segi isi , seloka biasanya mengutarakan isinya secara mengejek, sindiran atau dalam nada jenaka, dan kadang-kadang mengandungi nada atau perasaan asyik dan khayal.

            Oleh sebab seloka biasanya digunakan untuk menyindir atau berkias, tidaklah menghairankan mengapa seloka mengandungi banyak peribahasa yang selalunya disusun dengan cara yang senada atau mempunyai irama, sehingga kadangkala seloka sama dengan peribahasa berirama.

            Dalam hal ini, pengenal kepada peribahasa berirama ialah nada yang dibawa olehnya.. Peribahasa berirama tidak mengandungi nada-nada ejekan atau sindiran yang sinis tetapi seloka mengandungi nada-nada ejekan dan mada-nada sinis; menyindir terhadap sessuatu kelakuan sesetengah anggota masyarakat melalui peribahasa yang disusun secara sejajar untuk menghasilkan irama tersebut. Secara keseluruhannya, seuntai seloka merujuk kepada cerita jenaka yang telah benar-benar dikenalidalam masyarakat seperti cerita Pak Kaduk, cerita Pak Pandir, ceritai Lebai Malang, dan cerita Emak Si Randang Seloka tersebut bertujuan untuk menyindir anggota masyarakat yang berperangai seperti watak-watak tersebut.

            Seloka biasanya mengandungi bahasa yang penceritaannya meleret-leret dan lanjut, sindir giatnya selalu tajam dan bias seperti mengejek, menyindir dan menempelak, dan mengandungi perasaan yang hiba dan rawan.

Fungsi
Fungsi seloka amat terbatas, secara umum, seloka dapat menggambarkan masyarakat yang melahirknnya iaitu masyarakatyang amat mementingkan keharmonian dan ketatasusuilaan. Bersesuaian dengan sifat halus orang Melayu, puisi seloka digunakan untuk mengkritik sebarang perlakuan negative anggota masyarakat tanpa menyinggung perasaan individu sasaran. Puisi Seloka tidak digunakan secara meluas sebagaimana peribahasa atau teromba. Fungsinya amat bergantung kepada isinya iaitu:

            a.         Untuk menyindir seseorang
            b.         Untuk mengejek seseorang
            c.         Untuk menempelak seseorang
            d.         Untuk melahirkan rasa benci terhadap sesuatu kelakuan manusia
            e.         Untuk member pengajaran dan panduan kepada seseorang
            f.          Sebagai alat kawalan sosial / protes sosial.

1.1.4    GURINDAM

Definisi dan Ciri
Menurut Ismail Hamid (1989), istilah gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit. Wakaupun berasal daripada bahasa asing, tetapi dalam perkembangan puisi Melayu, gurindam yang berkembang dalam tradisi lisan Melayu mempunyai bentuknya yang tersendiri dan kelainan dengan gurindam dalam bahassa Sanskrit. Menurut Raja Ali Haji, “…adapun gurindam itu, iaitu perkataan yang bersajak akhir pasangannya, tetapi sempurna perkataanya dengan satu pasangannya sahaja, jadilah seperti sajak yang pertama itu syarat dan sajak yang kedua itu jadi seperti jawab” (Sutan Takdir Alisjahbana, 1954)

            Berdasarlkan definisi yang diberikan oleh Raja Ali Haji, Sutan Takdir Alisahbana (1954) menjelaskan pembentukkan gurindam yang biasanya terjadi daripada sebuah kalimat majmuk, yang dibahagi menjadi dua baris yang bersajak. Tiap-tiaop baris itu ialah sebuah kalimat, dan perhubungan antara dua buah kalimat itu biasanya ialah perhubungan antara anak kalimat dengan induk kalimat. Jumlah suku (suku kata) tiap-tiap baris itu tidak ditentukan. Demikian juga rimanya tiada tetap.

            Definisi yang diberi oleh Raja Ali Haji dan Sutan Takdir Alisjahbana ini hanya menyentuh bentuk sahaja. Menurut Za’ba (1962) gurindam merupakan puisi yang tidak mengandung sukatan yang tetap. Puisi ini mengandung fikiran yang bernas dan digubahkan dalam bahasa yang indah untuk dinyayikan bagi tujuan hiburan.

            Sebelum itu, dalam Pelita bahasa Melayu penggal III (1957), Za’ba pernah mengatakan bahawa, “gurindam dan seloka lebih kurang sama, iaitu satu jenis syair meleret yang tidak teratur, berangkap-rangkap dan tiada tetap sukatnya, timbangannya dan sajaknya. maka, Jika ada pun perbezaanya antara dua itu ialah pada keadaan isinya dan bahasanya sahaja iaitu:

            a.         Gurindam bahasanya selalu padat dan bernas, dan isinya lebih cenderung kepada   riang dan sukacita sebagai nyanyian, jenaka, senda gurau, kelakar, dan sindiran giat yang        bermain-main dan menggeli-gelikan hati. Yang demikian menunjukkan ada kesempatan           boleh melengah-lengahkan masa dan menyuka-nyukakan hati.

            b.         Seloka bahasanya kerap kali meleret dan lanjut, dan sindir giatnya selalu tajam       dan bias seperti mengejek, dan selain daripada itu boleh juga isinya mengandungi    perasaan-perasaan hiba-rawan, sedih-sayu, asyik-berahi, khayal, mimpi dan angan-angan.         Yang demikian menunjukkan ada kesempatan pula boleh melengah-lengahkan masa           dengan perkara-perkara seperti itu.

            Menurut Mohd. Taib Osman (1979), huraian Za’ba seperti di atas telaj meluaskan lagi struktur gurindam dan seloka daripada yang diberikan oleh Sutan Takdir Alisjahbana ataupun Raja Ali Haji.
            Harun Mat Piah (1989), kemudiannya menjelaskan lagi definisi gurindam berdasarkan bentuknya, iaitu sejenis puisi Melayu lama yang tidak tentu bentuknya sama ada terikat atau tidak. Bentuk yang terikat terdiri daripada dua baris  serangkap dan mengandungi tiga hingga enam patah perkataan dalam sebaris dengan rimanya a, a. Biasanya beberapa rangkap gurindam diperlukan untuk melengkapkan satu keseluruhan idea.
            Seperti seloka, gurindam bukanlah puisi yang lumrah digunakan oleh masyarakat Melayu. Bentuk ini lebih formal penggunaanya. Puisi ini mungkin digunakan dalam majlis-majlis tertentu. Oleh itu, sangat sukar untuk mencari contoh gurindam kecuali yang wujud dalam bentuk tulisan iaitu “Gurindam Dua Belas” yang dihasilkan oleh Raja Ali Haji.

FUNGSI
Berdasarkan isinya, gurindam dapatlah dianggap sebagai puisi yang digunakan untuk tujuan pendidikan dan huburan. Selain itu, gurindam juga berfungsi sebagai dokumentasi gambaran masyarakat yang dapat memancarkan kreativiti dan estetika serta dayaintelektual masyarakat Melayu lama dalam menangani hal kehidupan mereka. Gurindam juga dapat dijadikan media komunikasi antara ahli masyarakat, terutama dalam majlis-majlis yang formal.

1.1.5    TALIBUN

Definisi :

Talibun ialah puisi berangkap tentang perincian sesuatu objek atau peristiwa, dan umumnya terdapat dalam genre lipur lara. Sejenis puisi Melayu berbentuk bebas (ikatan puisi bebas) Digunakan sebagai sisipan / selingan dalam cerita lipur lara

Ciri-ciri :

a. Struktur talibun berbentuk bebas iaitu dalam serangkap talibun tidak mempunyai jumlah baris, jumlah perkataan dan jumlah suku kata yang seimbang. Talibun juga tidak mempunyai sistem rima tertentu.
b. Dalam sesuatu untai talibun, mungkin terdapat sisipan daripada genre puisi yang lain seperti pantun, syair dan sebagainya, tetapi ternyata sisipan ini dianggap sebahagian daripada rangkap talibun.
c. Fungsi dan kedudukan talibun adalah sebagai sisipan di dalam sesebuah cerita lipur lara. Fungsi talibun di dalam sesebuah cerita adalah sebagai pemerian kepada cerita berkenaan dan memperjelaskan perlukisan tersebut
d. Isi atau tema sesebuah talibun berhubungan dengan pemerian yang dilukiskan di dalam sesebuah konteks. Misalnya untuk memerikan atau melukiskan keindahan sesebuah kota, kecantikan seseorang puteri atau kesaktian sejenis senjata dan unsur-unsur di dalam sesebuah cerita.
e. Penggunaan bahasa perulangan menjadi lumrah dalam pembentukannya.Teknik perulangan ini bukan sahaja wujud dalam penggunaan gaya bahasa tetapi juga pengulangan seluruh puisi tersebut.


1.1.6    Teromba

Definisi :
Merupakan susunan adat yang disampaikan dalam bentuk puisi. Puisi ini dikenali juga sebagai puisi adat. Adat yang dimaksudkan ialah adat Minangkabau yang mengandungi adat dan peraturan serta norma-norma hidup masyarakat khususnya tentang undang-undang adat yang diamalkan dalam kehidupan sosial dan mengamalkannya.

Ciri Teromba : (Adat Tonggak Nilai) halaman 347
Dari aspek bentuk
a. Sejenis puisi berbentuk bebas atau puisi tidak terikat
b. Mengandungi 7 rangkap.Jumlah baris serangkap tidak tetap iaitu rangkap 1 mengandungi14, rangkap dua 16 baris serangkap, rangkap 22 baris serangkap, rangkap empat 6 baris serangkap, rangkap lima 17 baris serangkap, rangkap enam7 baris serangkap dan rangkap tujuh 9 baris serangkap.
c. Rima akhir teromba adalah tidak tetap
d. Jumlah perkataan sebaris tidak seimbang iaitu di antara 1 hingga 6 patah perkataan sebaris
Contoh,
Rangkap 1, baris 1 ….. Tatkala
Rangkap 2, baris 16 … Perempuan biasa berusahakan benang dan kapas
e. Jumlah suku kata sebaris juga tidak seimbang iaitu di antara 3 hingga
Contoh,
R1B1 Tat/ka/la 3 jumlah suku kata
R2B16 Pe/rem/pu/an bia/sa ber/u/sa/ha/kan be/nang dan ka/pas 16 sk
f. Terdapat penggunaan jenis puisi Melayu tradisional yang lain seperti penggunaan peribahasa
Contoh : Bulat air kerana pembetung
Bulat manusia kerana muafakat Rangkap 5

Hidup dikandung adat,
Mati dikandung bumi, Rangkap 5
Ciri dari segi isi :
Isinya mengandungi adat dan peraturan serta norma-norma hidup masyarakat khususnya tentang undang-undang adat yang diamalkan dalam kehidupan sosial masyarakat yang melahirkan dan mengamalkannya.

Teknik penulisan :
Sejenis puisi berbentuk bebas atau tidak terikat
i. Rangkap teromba :
Mengandungi 7 rangkap.Jumlah baris serangkap tidak tetap iaitu rangkap 1 mengandungi14, rangkap dua 16 baris serangkap, rangkap 22 baris serangkap, rangkap empat 6 baris serangkap, rangkap lima 17 baris serangkap, rangkap enam7 baris serangkap dan rangkap tujuh 9 baris serangkap.

ii. Jumlah perkataan sebaris :
Jumlah perkataan sebaris tidak seimbang iaitu di antara 1 hingga 6 patah perkataan sebaris
Contoh,
Rangkap 1, baris 1 ….. Tatkala
Rangkap 2, baris 16 … Perempuan biasa berusahakan benang dan kapas

iii. Jumlah suku kata sebaris :
Jumlah suku kata sebaris juga tidak seimbang iaitu di antara 3 hingga
Contoh,
R1B1 Tat/ka/la 3 jumlah suku kata
R2B16 Pe/rem/pu/an bia/sa ber/u/sa/ha/kan be/nang dan ka/pas 16 sk

iv. Maksud teromba
Mengandungi adat dan peraturan serta norma-norma hidup masyarakat khususnya tentang undang-undang adat yang diamalkan dalam kehidupan sosial masyarakat Negeri Sembilan yang melahirkan dan mengamalkan Adat Perpatih. Oleh itu teromba yang ditulis merupakan susunan adat yang disampaikan dalam bentuk puisi yang dikenali sebagai ‘puisi adat’.

Fungsi teromba
a. Memberi panduan dan pendidikan tentang cara hidup atau sistem hidup bermasyarakat yang baik dan harmoni melalui adat, peraturan dan undang yang dibentuk.Dalam rangkap 2, menjelaskan keutamaan adat dan masyarakat mesti mengikut kebiasaan yang telah dijadikan peraturan setempat. Penghulu, ulama masing-masing dengan tugas mereka. Begitu juga dengan pahlawan, juara, saudagar dan kaum wanita.
b. Membentuk dan membina satu masyarakat yang harmoni.

1.1.7    MANTERA
Mantera ialah kata-kata yang diucapkan untuk mendapatkan sesuatu dengan kuasa ghaib (melalui mimpi). Jampi ialah kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendapatkan kesaktian (seperti menyembuhkan penyakit dan sebagainya).Mantera juga diberi pengertian sebagai ungkapan kata-kata yang digunakan pawang dan bomoh Melayu dalam upacara-upacara yang mempunyai berbagai ragam maksud dari segi kepercayaan lama seperti digunakan dalam doa dan pendinding keselamatan daripada segala bencana iaitu digunakan dalam upacara-upacara ritual, pemujaan kepada penunggu dan semangat, juga dalam kerja-kerja bersangkut paut dengan pertanian dan menangkap ikan (supaya menjauhkan bala dan kerosakan segala bencana).

Ciri-ciri Mantera :

Dari segi bentuk :
i. Bentuk bebas atau tidak terikat
ii. Jumlah baris dalam satu rangkap adalah bebas / tidak tetap
iii. Jumlah rangkap bagi satu-satu mantera juga adalah bebas.
iv. Rima akhir baris adalah bebas iaitu tidak ada skema rima yang tertentu.

Dari segi isi :
i. Mengandungi pengucapan dan doa yang penuh dengan kata-kata pujian dengan tujuan membawa keuntungan dan menjauhkan bencana.
ii. Mengandungi unsur-unsur atau ungkapan magis yang digunakan dalam upacara-upacara tertentu serta bersifat kudus atau menyelami soal-soal kebatinan

Dari segi bahasa :
i. Mengandungi kata-kata yang dapat memberi kesan gambaran (imej) yang tertentu seperti gambaran alam semulajadi, benda-benda, tingkah laku atau perbuatan, perasaan atau sentuhan, bunyi atau pendengaran
ii. Kaya dengan bahasa perbandingan, kata-kata perulangan, kata-kata kiasan atau kiasan bahasa dan metafora.

 Jenis mantera dibahagikan kepada empat jenis berdasarkan tujuan mantera tersebut diucapkan, iaitu :
a. Perubatan
b. Pakaian diri
c. Pekerjaan
d. Adat isiadat

Fungsi mantera :
a. Menyembuhkan penyakit dan menghalau makhluk halus yang dipercayai sesuatu tempat atau yang menggangu kehidupan seseorang dan masyarakat.
b. Dijadikan sebagai pemanis, pengasih dan pembenci
c. Mantera digunakan dalam upacara-upacara seperti adat dan istiadat.

Disediakan oleh:
Jabatan Kesusasteraan Melayu Komunikatif
SMK Sri Gunung,
16390 Bachok,
Kelantan.









Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Bawah Artikel