Selasa, 26 Jun 2012

Pengantar Puisi Moden (Sajak)


PENGANTAR PUISI MODEN :      SUKATAN PELAJARAN
Tajuk
Waktu Pengajaran
Hasil Pembelajaran
2. Puisi moden :
Sajak




20
Calon seharusnya dapat:

(a) mengenal pasti dan menjelaskan aspek intrinsik dan ekstrinsik dalam puisi moden terpilih;
(b) menyatakan aspek estetik dalam karya kajian
(c) menghuraikan kepelbagaian aspek pemikiran masyarakat dalam karya; 
(d) menganalisis karya.

Penghayatan Intrinsik  (Dalaman)
Penghayatan Ekstrinsik  (Luaran)
1. Tema / Persoalan / Pemikiran
                i. Tema: Harfiah/Tersurat
                  dan tersirat.
                ii. Persoalan/pemikiran
                iii. Mesej
2. Nilai:
                i. Kemanuisaan
                ii. Kemasyarakatan
                iii.Keagamaan/Moral
3. Latar
                i. Tempat
                ii. Masa / Suasana
                iii. Masyarakat
4. Gaya Bahasa (19)
                - Rujuk Bahan Estetika Bahasa
5. Intuisi:
                Perasaan dalaman sesebuah karya
6. Bentuk:
                i. Sajak bebas
                ii. Terikat
7. Nada, rentak dan Irama:


1. Biografi pengarang
                Riwayat hidup penyair
2. Gambaran masyarakat:
                i. Pandangan hidup
                ii. Kemasyarakatan
                iii. Kemanusiaan
3. Peranan / Fungsi
                i. Pendidikan/ pengajaran
                ii. Kepuasan estetik
                iii. Sosial
                iv. Keagamaan/moral
4. Latar karya/ pewarnaan setempat
                i. Latar belakang penghasilan
                karya
                ii. Latar masyarakat
5. Unsur-unsur Pengetahuan lain
                i. Agama
                ii. Sejarah
                iii. Kemanusiaan
                iv. Kemasyarakatan
6. Nilai Masyarakat
                i. Nilai murni
                ii. Unsur Positif / negatif
7. Deklamasi:
                i. Cara penyampaian
                ii. Pengucapan sajak
                iii. Gaya
                iv. Mimik
                v. Intonasi
                vi. Ritma / Irama

Pengertian / Konsep Sajak
Sajak ialah puisi baru yang bebas daripada peraturan-peraturan dalam pembentukan rangkap, baris,kata dan rima. Sajak bersifat demikian supaya dapat mengucapkan fikiran penyajak dengan  cara yang lebih  indah, bebas dan berkesan.

Sifat-sifat Sajak
1.             Bilangan perkataan tidak terhad
2.             Sukukata bebas
3.             Setiap baris mempunyai makna tersendiri
4.             Bilangan baris dalam ranbgkap tidak terhad kecuali sajak panjang yang dikenali sebagai balada
5.             Bilangan rangkap tidak terhad
6.             Mempunyai mesej tertentu
7.             Terdiri daripada satu tema dan beberapa persoalan
8.             Rimanya bebas
9.             Mempunyai keharmonian/penyesuaian yang baik  antara isi dengan bahasa
10.          Bahasa sajak padat, berpelambangan dan indah

Penjelasan Tentang Aspek Intrinsik:
A. Tema dan persoalan

Tema ialah pokok persoalan @ persoalan utama dalam sasabuah puisi. Terdapat 6 jenis tema yang biasa terdapat dalam sajak
a.             Tema Diri
b.             Tema Cinta
c.             Tema Masyarakat
d.             Tema Alam
e.             Tema Semangat /Perjuangan
f.             Tema Ketuhanan/Keagamaan

Persoalan ialah isu-isu kecil selain tema

B.  Mesej
Suatu perutusan / amanat yang hendak disampaikan oleh penyajak kepada pembaca

C.Bentuk Sajak
Terdapat dua bentuk sajak iaitu
1.             Sajak bebas
2.             Sajak terikat: terbahagi kepada 9:-
                a.             Distikon    - 2 baris serangkap
                b.             Terset        - 3 baris serangkap
                c.             Kuantrain - 4 baris serangkap
                d.             Kuintain   - 5 baris serangkap
                e.             Sestet        - 6 baris serangkap
                f.             Septet       - 7 baris serangkap
                g.             Oktaf/ Stanza -  8 baris serangkap
Terdapat satu lagi bentuk sajak iaitu Soneta:- 14 baris dan mengandungi 4 rangkap. Susunan baris-baris rangkapnya 4,4,3,3. Susunan rimanya abba,abba,aab,aab

D. Nada/Rentak/Irama
Oleh kerana fikiran dan persoalan penyajak berbagai-bagai, maka isi sajak juga berbagai-bagai ragam.


1.             Balada
                Satu bentuk puisi yang dilagukan atau dibacakan dan dapat dikenali melalui persembahan episodnya  yang dramatik dan dapat memikat hati dalam bentuk  kisah yang mudah.  Sajak yang dicipta untuk         nyanyian tidaklah peribadi persoalannya, kemungkinan asal-usulnya dari tarian yang bercorak perkauman. Masyarakat yang mengekalkan tradisi  balada ini untuk menunjukkan sifat ketabahan dalam mengharungi kehidupan mereka.

2.             Protes
Nada ini terdapat pada sajak yang meluahkan perasaan benci. Nadanya tinggi dan cepat. Sajak yang mempunyai tema perjuangan menentang kekejaman, kezaliman atau penindasan biasanya mempunyai nada ini.

3.             Romantis (Sedih /Pilu)
Menggambarkan kasih sayang, rindu dendam yang melanda jiwa manusia  terutama anak-anak muda

4.             Sinis
Kecenderungan untuk mempersoalkan tentang           sesuatu  yang diterima umum atau ragu-ragu terhadap sesuatu kebaikan, kejujuran  seseorang. Pengucapan sinis diasaskan di kalangan ahli falasafah Greek yang  dipimpin oleh Antisthenes. Mereka mempunyai  pendapat tersendiri tentang tindak laku sosial dan politik            manusia. Pada mereka  alasan, fikiran, keinginan, individualisme lebih penting daripada tingkah laku  sosial dan politik. Apabila tindakan seseorang  mendapat sanjungan daripada orang ramai lebih dari apa yang sepatutnya, golongan ini telah merasa  ragu-ragu dan memandang rendah kepada Individu dan sikap individu tersebut. Lalu mereka telah  membentuk  suatu  nilai baru dalam bentuk mengejek.  Golongan ini  di kenali sebagai penulis yang sinikal atau      penulis yang mengejek.

5.             Satira
Mencampur-adukkan sikap yang kritis dengan humor dan wit( sesuatu yang berhubung dengan akal, budi, fikiran; kecerdasan otak. @ keupayaan mental yang cukup cerdas[intelligent] atau keahlian mencipta pengucapan baru[ inventiveness].)  hingga berjaya memperkatakan secara sindiran  tentang kemanusiaan dan institusi manusia.  Unsur lucu yang dimasukkan menjadi alat untuk menentang orang atau pendapat seseorang. Satira berbeza dengan ironi( sindiran, cemuhan dan ejekan).

Satira terbahagi dua :
1.    Satira Horatia : satira yang lemah-lembut, berbudi bahasa, dilahirkan dalam lemah lembut sambil berlucu seolah-olah dalam senyuman. Tujuan untuk menegur sesuatu dengan cara yang lembut sambil berlucu dan simpatik.
2.    Satira Juvenalia: tajam sifatnya, pahit sindirannya, menampakkan sikap marah-marah, tujuan mendedahkan kecurangan moral dalam institusi manusia

6.             Patriotik
Nada ini dikenali melalui tekanan suara yang lebih tinggi. Pengucapannya penuh dengan perasaan dan semangat yang berkobar-kobar. Nada ini biasanya terdapat pada sajak-sajak yang bertemakan semangat perjuangan.

7.             Epigram
Ungkapan yang mengandungi kata-kata yang ringkas, bernas dan tajam maksudnya, serta menagndungi unsur-  unsur yang berlawanan/ bertentangan

8.             Eligi
Mengambarkan suasana penderitaan jiwa disebabkan perpisahan, juga memaparkan meditasi seseorang tentang kematian orang yang disayangi, atau pengucapan berhubung dengan peristiwa yang menyedihkan.

9.             Oda/Pujaan
Puisi yang penuh dengan kata-kata pujian dan semangat, lazimnya pujian kepada seseorang tokoh, pahlawan, bangsa, Negara atau tema yang mengandungi peristiwa yang cukup bermakna

E. Gaya Bahasa
Melibatkan tiga aspek :
                1.             Jenis Penggunaan sajak
                2.             Jenis Pengucapan sajak
                3.             Unsur-unsur bahasa

1.             Jenis Penggunaan sajak
                a.             Samada penyajak menggunakan
                b.             Bahasa biasa(harian)
                c.             Bahasa Moden /Inggeris
                d.             Bahasa Klasik  (Bahasa Melayu lama)
2.             Jenis Pengucapan sajak
                Samada penyajak mengucapkan
                a.             Secara puitis- guna unsur bahasa yang indah
                b.             Secara Prosaik - guna bahasa yang mudah difahami


3.             Unsur-unsur bahasa
                Jika penyajak mengucapkan sajak secara puitis penyajak akan menggunakan unsur-unsur bahasa seperti berikut :(Rujuk Estetika Bahasa)

 F. Intuisi
Keupayaan atau kebolehan mengetahui/memahami sesuatu dengan gerak hati / bisikan kalbu sahaja Perasaan dalaman sesebuah karya / seseorang penyajak. Intuisi boleh muncul melalui deklamasi sajak yang baik. Kesan yang boleh dirasai oleh deklamator atau pendengar ialah perasaan-perasaan seperti sedih, sayu, marah, geram, sayang, bersemangat dan sebagainya.

G. Latar
a.             Latar tempat
b.             Latar masa/ suasana
c.             Latar masyarakat

H. Nilai
a.             Kemanusiaan
b.             Kemasyarakatan
c.             Keagamaan/Moral

I. Gambaran Masyarakat
a.             Pandangan hidup
b.             Kemasyarakatan
c.             Kemanusiaan

J. Peranan/Fungsi
a.             Pendidikan / pengajaran
b.             Kepuasan estetik
c              Sosial
d.             Keagamaan / Moral

Makluman Tentang Teks Permata Sastera

Assalamualaikum,
Kepada semua yang mengikuti blog saya, terlebih dahulu saya mohon maaf diatas kesilapan puisi teromba adat yang telah saya seneraikan  sebelum ini. Untuk makluman semua sila rujuk kembali senarai puisi tradisional yang telah saya edit berdasarkan teks Permata sastera yang telah saya perolehi menerusi bantuan cikgu Yeo dari SMK Tumpat yang telahpun ada buku Permata Sastera melalui usaha beliau ke Kuala Lumpur tempoh hari. Beliau telah membuat pesanan daripada Koperasi DBP. Jadi sekiranya rakan guru ingin mendapatkan Buku Permata Sastera boleh berbuat demikian dengan menghubungi koperasi DBP di nombor 0321485869.

Ahad, 17 Jun 2012

Mantera Ulit Mayang


Anda sudah tentu pernah dengar lagu tradisi Negeri Terengganu, Ulek Mayang. Lagu Ulek Mayang yang bermula sebagai kaedah perubatan tradisional menjadi identiti Terengganu kerana menjadi amalan masyarakat Melayu lama sejak beratus tahun lalu. Namun amalan itu dikatakan amalan khurafat kerana menggunakan khidmat makhluk halus atau pun jin dalam mengubati seseorang pesakit.
Sekarang Ulek Mayang hanya dikaitkan sebagai persembahan kesenian tradisional yang masih aktif berkembang beberapa lokasi di Terengganu seperti Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu. Persembahan Ulek Mayang ini dimainkan dengan menggunakan Mayang Pinang. Dipercayai Mayang Pinang membangkitkan semangat. Ketika persembahan ini berlangsung pemain diiringi dengan seloka dan pantun oleh rakan yang lain. Persembahan ini dimainkan secara beramai-ramai dengan membuat bulatan dan pemegang duduk di tengah-tengah. Tidak ada muzik yang mengiringi persembahan ini.


Persembahan dan Tarian Ulek Mayang
Kini, Ulek Mayang hanya dipersembahkan sebagai hiburan semata-mata tanpa mencampur adukkan unsur khurafat dalam bacaan mantera. Malah, persembahan hanya berlangsung 10 minit berbanding antara 20 hingga 30 minit.
Ulek Mayang yang menampilkan persembahan tujuh puteri yang mengubati seorang lelaki yang terkena sampuk. Ada dua versi iaitu versi sekumpulan lelaki bermain sepak raga dan versi sekumpulan nelayan sebelum seorang daripada mereka terkena sampuk.

Sejarah Ulek Mayang
Mengikut catatan sejarah, tujuh puteri itu berasal dari Bukit Puteri yang sentiasa menjadi tumpuan orang kampung untuk meminta bantuan mengubati orang sakit melalui jampi, seru dan mantera. Ulek Mayang yang ada pada hari ini sudah mengalami perubahan termasuk menghapuskan unsur khurafat.
Kini, persembahan Ulek Mayang yang dimainkan sekadar untuk suka-suka saja, di mana ia melambangkan suatu pemujaan mendalam terhadap Tuan Puteri Tujuh beradik. Persembahan dimulakan dengan membaca doa dan membangkitkan asal Mayang. Mayang yang digunakan dalam persembahan ini diasap kemenyan dan disapu minyak kelapa terlebih dahulu.
Doa dan ‘bangkitan’ dilakukan untuk memohon perlindungan agar orang yang mengambil bahagian tidak ditimpa apa-apa kemalangan.

7.1 Mantera Ulit Mayang

Aku tahu asal usulmu,
Seri Bersila nama asalmu,
Seri Berdiri nama batangmu,
Seri hidup asal usulmu,
Seri Menempak nama daunmu,
Seri Guntur nama bungamu,
Seri Gintir nama buahmu.

Aku tahu asal usulmu,
Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan tuan puteri,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan  puterinya empat,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya enam,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya tujuh,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Ulit mayang diulit,
Ulit dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan  tuan puteri,
Kutahu asal usulmu,
Yang laut pulang ke laut,
Yang darat pulang ke darat,
Nasi berwarna hamba sembahkan.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Pulih mayang kupulih,
Pulih balik sedia kala.

video
Persembahan ulit mayang juga boleh didownload di youtube bagi menunjukkan persembahan ulit mayang kepada para pelajar bagi menambahkan pengetahuan tentang mantera ulit mayang.
selamat mengkaji mantera ulit mayang.

Selasa, 12 Jun 2012

Kajian Seloka Pak Pandir


SELOKA, KRITIKAN TAJAM DALAM GURAUAN
Seloka ialah sejenis puisi Melayu tradisional yang tidak mempunyai struktur yang khas seperti pantun atau syair. Mengikut Zaaba, seloka ialah karangan berangkap yang memakai pertentangan bunyi hujung (rima) yang tiada tetap. Bilangan baris pada sebuah seloka adalah tidak terhad dan bilangan baris pada satu rangkap juga tidak menentu. Seloka juga tidak mempunyai skima rima yang tetap. Oleh itu boleh dikatakan seloka lebih mirip kepada ciri free verse iaitu bentuk puisi moden yang dikenali sebagai sajak pada masa ini.
Seperti kebanyakan puisi tradisional yang lain, ciri-ciri seloka boleh dikenali melalui isinya dan tujuan ia dikarang. Seperti yang diketahui umum, gurindam digubah untuk menyampaikan nasihat dan panduan, Nazam digunakan untuk menyampaikan kisah dan puji-pujian terhadap Allah dan Nabi Muhammad s.a.w., teromba merupakan puisi yang menyampaikan perbilangan adat dan peraturan bermasyarakat, manakala mantera adalah jampi serapah yang bertujuan mengubat pesakit. Seloka pula dikarang untuk menyampaikan kritikan dan sindiran terhadap sesuatu kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat. Kritikan dan sindiran ini amat tajam dan disampaikan secara berlapik dan berkias dalam nada bergurau.
Melalui seloka akan terpancar budaya masyarakat Melayu tradisional yang tidak mengkritik secara berterus terang tetapi secara halus. Kata-kata yang digunakan di dalam seloka adalah lambang-lambang yang mengandungi makna yang tersirat. Seperti kebanyakan karya di dalam khazanah Melayu tradisi, kita tidak mengetahui siapakah pengarang sebenar sesebuah seloka. Namun dari seloka yang kita warisi, terbukti bahawa pengarang seloka adalah pemikir yang amat tajam pemerhatiannya terhadap alam dan masyarakat di sekeliling. Mereka peka terhadap segala yang berlaku dan menjalankan tanggungjawab bagi menyampaikan teguran dan kritikan. Pengarang seloka menggunakan perbandingan dan tamsilan seperti perumpamaan, metafora, simile dan personifikasi yang kaya dengan imej alam. Imej-imej alam ini perlu ditafsir untuk mengetahui maksud sebenar seloka.
Warisan Melayu telah meninggalkan sejumlah seloka untuk dihayati. Untuk mengenal seloka dengan lebih dekat kita akan menganalisis tiga buah seloka yang paling terkenal di dalam masyarakat Melayu iaitu:
1. Seloka Pak Kaduk,
2. Seloka Pandai Pak Pandir
3. Seloka Mak Si Randang
Ketiga-tiga seloka di atas adalah berdasarkan cerita rakyat atau cerita jenaka yang terkenal di dalam sastera Melayu. Pak Kaduk dan Pak Pandir merupakan watak-watak yang ditimpa malang. Nasib malang itu adalah akibat daripada kebodohan mereka sendiri. Mereka telah melakukan perbuatan-perbuatan yang merugikan diri sendiri. Seloka Mak Si Randang adalah berdasarkan cerita rakyat masyarakat Minangkabau yang mengisahkan seorang ibu yang terlalu pemurah dan sanggup memberikan segala yang ada kepada orang lain
 
Seloka Pak Pandir

Anak dipijak,dagang dijinjing
Kucing dibunuh, tikus dibela
Harta habis, badan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh di langit
Air tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak
Gunting makan di hujung
Pak Pandir juga yang menanggung
Apa didengar gelagat dagang
Gelagak rambutan jantan
Orang berbunga dia berbunga
Orang berbuah dia haram
Kilat memancar hujang tak lalu
Awak juga berkecundangan
Seloka di atas adalah perihal kelakuan Pak Pandir yang salah pertimbangan dan sering membuat kerja-kerja yang tidak sepatutnya dilakukan. Pak Pandir berbuat baik tidak pada tempatnya. Dia berbuat baik dengan menjinjing dagang tetapi berlaku kejam dengan perlakuannya “memijak” anak sendiri. Dia telah membunuh kucing iaitu sejenis binatang yang dikaitkan dengan kemanjaan tetapi telah membela tikus iaitu sejenis haiwan yang boleh merosakakan kesihatan dan harta benda. Kerana kebodohan dan kebaikannya yang melampau itu, Pak Pandir mudah ditipu. Dia mudah percaya kepada orang asing (Mendengar gelagak dagang,Tak sedar bertelanjang) Akibatnya, harta habis,badan tergadai. Pak Pandir juga sering mengambil risiko tanpa berfikir panjang. Hal ini digambarkan melalui peribahasa Mendengar guruh di langit,Air tempayan dicurahkan. Ternyata dagang yang dijinjingnya adalah penipu yang licik yang berpura-pura baik Hal ini dijelaskan melalui ungkapan mulut kena suap pisang,Buntut kena cangkuk onak,dan gunting makan di hujung Pak Pandir juga yang menanggung Apa didengar gelagat dagang Gelagak rambutan jantan Orang berbunga dia berunga Orang berbuah dia haram Kilat memancar hujang tak lalu Awak juga berkecundangan .

Sebahagian besar dari maksud Seloka Pandai Pak Pandir disampaikan melalui peribahasa. Oleh itu ia menunjukkan dengan jelas hubungan yang rapat antara seloka dan peribahasa. Di sini terdapat sekurang-kurangnya empat ungkapan yang merupakan peribahasa yang terkenal.
1. Mendengar guruh di langit air tempayan dicurahkan,
2. Mulut kena suap pisang,buntut kena cangkuk onak,
3. Gunting makan di hujung
4. Gelagak rambutan jantan, orang berbunga dia bebunga. orang berbuah dia haram

Dipetik daripada tulisan,
Zurinah Hassan

Bahan ini sesuai untuk dijadikan edaran kepada pelajar tingkatan enam rendah untuk penghayatan sastera di bawah tajuk puisi tradisional untuk tajuk SELOKA.

Berikut ialah cadangan aktiviti berdasarkan edaran di atas.
Aktiviti 1: Jelaskan teknik penulisan seloka (ciri-ciri) dan di seseuaikan dengan seloka Pak Pandir (selaras dengan sukatan pelajaran )

Aktiviti 2: Huraikan peranan seloka dalam konteks masyarakat melayu tradisional

Aktiviti 3: Bincangkan aspek estetika bahasa dalam seloka Pak Pandir.

Aktiviti 4: Menjelaskan perwatakan negatif yang ada pada watak pak pandir.

Untuk mendapat keterangan lebih lanjut berhubung dengan skema jawapan(dalam bentuk power point) bagi setiap aktiviti yang dicadangkan bolehlah berhubung terus dengan Cikgu Ahmad Yani Salleh menerusi talian telefon 014-5367128.