Analisa Cerpen Melankoli Di Atas Rumput dalam Dwan Sastera Jun 2005

Analisis Cerpen Dewan Sastera Jun 2005
oleh: Sohaimi Abdul Aziz

Dalam cerpen “Melankolik di Atas Rumput”, karya Fatimah Busu, persoalan kebenaran menjadi satu aspek penting. Kebenaran yang diperkatakan ialah kebenaran tentang alam selepas mati, iaitu alam kubur. Pandangan Islam telah digunakan oleh pengarang ini untuk mempotretkan kebenaran itu secara kreatif dan imaginatif.

Mengikut Islam, terdapat beberapa peringkat alam yang dilalui umatnya. Bermula dengan alam roh, beralih ke alam rahim, kemudian ke alam nyata, iaitu dunia, alam kubur iaitu alam barzakh dan alam akhirat. Alam kubur adalah sebahagian daripada alam akhirat. Salah satu rukun iman dalam Islam adalah mempercayai wujudnya alam akhirat. Dengan kata lain mengikut ajaran Islam, alam kubur yang menjadi sebahagian daripada alam akhirat adalah benar dan cerpen “Melankolik di Atas Rumput” merakamkan kebenaran itu.

Watak “Aku” dalam cerpen ini merupakan seorang wanita yang telah mencapai umur 60 tahun dan dia rela untuk bertemu dengan kematiannya kerana kematian adalah sesuatu yang pasti datang. Setiap yang hidup itu akan mati. Umat Islam seperti “aku” percaya bahawa alam kubur akan menanti mereka setelah datangnya kematian.

Alam kubur pada dasarnya adalah sangat gelap, sempit, sunyi dan tidak selesa. Namun, alam kubur yang menakutkan itu akan bertukar menjadi alam yang selesa apabila seseorang itu semasa hidupnya menyempurnakan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Manusia yang beriman, iaitu yang mengamalkan ajaran Islam semasa hidupnya akan menikmati alam kubur yang lebih selesa. Alam kubur bagi yang beriman diperlihatkan melalui dialog antara seorang anak dengan kedua-dua orang tuanya:

                “Oh ibu…oh bapa…
                +     Bagaimana hendak jadikan ruang kubur itu lapang?”
                -     “Jangan tinggalkan sembayang…”
                +     Bagaimana hendak jadikan ruang kubur terang-benderang?”
                -     “Bacalah Al-Quran malam dan siang…”
                +     Bagaimana hendak hidup selesa di sana?”
                -     “Buatlah apa yang Allah suruh tinggalkan apa yang Allah larang.”

Petikan di atas menyatakan bahawa bagi orang yang beriman, alam kubur akan menjadi satu tempat selepas mati yang menyenangkan. Jika seseorang itu menurut apa-apa yang dikehendaki atau memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Allah, apabila dia meninggal dan memasuki alam kubur, maka dia akan memasuki satu fasa yang menyenangkan. Kebenaran tentang alam kubur yang menyenangkan ini dikonkritkan dalam cerpen “Melankolik di Atas Rumput” melalui teknik mimpi.

Watak “aku” telah bermimpi tentang alam kubur ini sebagai wanita yang telah berusia, “aku” telah melalui pelbagai pengalaman hidup; punya seorang anak, punya pelajaran yang tinggi, punya pekerjaan yang baik dan kuat beribadat. Apabila usia semakin hampir ke hujung senja, “aku” merasakan kematian akan menjenguknya. “Aku” menginginkan sebuah kematian yang diredhai. “Aku” sedar hidup adalah bersifat sementara seperti yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis. “Aku mengamalkan semua syarat-syarat yang ditetapkan untuk memperoleh alam kubur yang selesa jika dia menemukan kematiannya. Keinginan itu dicapai dalam satu mimpi. Dalam mimpi itu aku telah terjaga dan semacam diperlihatkan kepadanya alam kuburnya yang luas, terang dan indah.

                Apakah di sinilah daerahku yang akan datang? Di Wilayah semesta yang berumout ini?            Pembaringanku ini liang lahadnya? Dan kelambu ini jadi belindanya? Dan pokok yang            satu ini jadi nisannya? Kalau inilah takdirnya bagi daerahku yang akan datang. Aku terlalu bersyukur kepada Allah S.W.Tku. Aku sangat bersyukur!”

“Aku” bukan sahaja bermimpi melihat alam kuburnya, tetapi juga melihat satu lagi peringkat alam akhirat, iaitu satu tempat, padang Mahsyar. Semua makhluk Allah itu dibangkitkan kembali dari alam kubur mereka di padang Mahsyar. Mereka dibangkitkan kembali daripada alam kubur untukm diadili kebajikannya. Yang berat dosanya akan dihukum setimpalnya. Melalui unsur-unsur magis diperlihatkan satu kebangkitan, bukan sahaja manusia tetapi juga binatang. “Aku” bermimpi melihat kemenangan berada di pihak umat Islam. Mereka yang menindas umat Islam seperti tentera Amerika, Israel dan Thailand telah dihukum seperti menarik pedati yang dinaiki oleh umat Islam. Dengan kata lain cerpen “Melankolik di Atas Rumput” telah mengetengahkan satu kebenaran mengikut ajaran Islam iaitu tentang alam akhirat khususnya alam kubur.

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Bawah Artikel