Ahad, 17 Jun 2012

Mantera Ulit Mayang


Anda sudah tentu pernah dengar lagu tradisi Negeri Terengganu, Ulek Mayang. Lagu Ulek Mayang yang bermula sebagai kaedah perubatan tradisional menjadi identiti Terengganu kerana menjadi amalan masyarakat Melayu lama sejak beratus tahun lalu. Namun amalan itu dikatakan amalan khurafat kerana menggunakan khidmat makhluk halus atau pun jin dalam mengubati seseorang pesakit.
Sekarang Ulek Mayang hanya dikaitkan sebagai persembahan kesenian tradisional yang masih aktif berkembang beberapa lokasi di Terengganu seperti Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu. Persembahan Ulek Mayang ini dimainkan dengan menggunakan Mayang Pinang. Dipercayai Mayang Pinang membangkitkan semangat. Ketika persembahan ini berlangsung pemain diiringi dengan seloka dan pantun oleh rakan yang lain. Persembahan ini dimainkan secara beramai-ramai dengan membuat bulatan dan pemegang duduk di tengah-tengah. Tidak ada muzik yang mengiringi persembahan ini.


Persembahan dan Tarian Ulek Mayang
Kini, Ulek Mayang hanya dipersembahkan sebagai hiburan semata-mata tanpa mencampur adukkan unsur khurafat dalam bacaan mantera. Malah, persembahan hanya berlangsung 10 minit berbanding antara 20 hingga 30 minit.
Ulek Mayang yang menampilkan persembahan tujuh puteri yang mengubati seorang lelaki yang terkena sampuk. Ada dua versi iaitu versi sekumpulan lelaki bermain sepak raga dan versi sekumpulan nelayan sebelum seorang daripada mereka terkena sampuk.

Sejarah Ulek Mayang
Mengikut catatan sejarah, tujuh puteri itu berasal dari Bukit Puteri yang sentiasa menjadi tumpuan orang kampung untuk meminta bantuan mengubati orang sakit melalui jampi, seru dan mantera. Ulek Mayang yang ada pada hari ini sudah mengalami perubahan termasuk menghapuskan unsur khurafat.
Kini, persembahan Ulek Mayang yang dimainkan sekadar untuk suka-suka saja, di mana ia melambangkan suatu pemujaan mendalam terhadap Tuan Puteri Tujuh beradik. Persembahan dimulakan dengan membaca doa dan membangkitkan asal Mayang. Mayang yang digunakan dalam persembahan ini diasap kemenyan dan disapu minyak kelapa terlebih dahulu.
Doa dan ‘bangkitan’ dilakukan untuk memohon perlindungan agar orang yang mengambil bahagian tidak ditimpa apa-apa kemalangan.

7.1 Mantera Ulit Mayang

Aku tahu asal usulmu,
Seri Bersila nama asalmu,
Seri Berdiri nama batangmu,
Seri hidup asal usulmu,
Seri Menempak nama daunmu,
Seri Guntur nama bungamu,
Seri Gintir nama buahmu.

Aku tahu asal usulmu,
Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan tuan puteri,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan  puterinya empat,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya enam,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya tujuh,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Ulit mayang diulit,
Ulit dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan  tuan puteri,
Kutahu asal usulmu,
Yang laut pulang ke laut,
Yang darat pulang ke darat,
Nasi berwarna hamba sembahkan.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Pulih mayang kupulih,
Pulih balik sedia kala.

video
Persembahan ulit mayang juga boleh didownload di youtube bagi menunjukkan persembahan ulit mayang kepada para pelajar bagi menambahkan pengetahuan tentang mantera ulit mayang.
selamat mengkaji mantera ulit mayang.

1 ulasan:

  1. apakah perisian tentang puisi mantera ini???
    jawapan dari pihak anda dapat membantu saya dalam STPM baru ini...

    BalasPadam