Kajian Puisi Moden - Sajak1 Pertemuan Di Hyde Park oleh Adi Badiozaman Tuah


Latarbelakang: DATU DR HAJI ADI BADIOZAMAN TUAH 

Adi dilahirkan pada 15 Ogos 1951 di Tatau, Sarawak, di mana dia memulakan pendidikan rendahnya.Adi kemudian melanjutkan pendidikan menengah di Bintulu dan Miri, memperoleh ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Melayu dan Diploma Pendidikan pada tahun 1973, dan Sarjana Pendidikan dalam bidang Perkembangan Kurikulum pada tahun 1979 dari Universiti Malaya, dan ijazah Kedoktoran Pendidikan dari Universiti Bristol, U.K. pada tahun 1996 dalam bidang Pengurusan Pendidikan
Sebelum menjadi Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak, Adi pernah sebelum bersara daripada Perkhidmatan Pendidikan Malaysia pada 15 Ogos 2007, bertugas sebagai Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan Malaysia, Pengarah Pendidikan Sarawak, Pengarah, Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching, Ketua Penolong Pengarah (Hal Ehwal Murid) di Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur; Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Perkhidmatan
Pendidikan; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyeliaan Sekolah dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kurikulum di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
Adi juga pernah menjadi Pegawai Pendidikan Bahagian di Sri Aman dan di Bahagian Miri; menjadi guru Bahasa dan Kesusasteraan Melayu; pensyarah di Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching; tutor di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya; dan Pengetua di SMK Green Road Kuching, dan Pengetua Kolej Tun Datuk Tuanku Haji Bujang, Miri 

Pertemuan di Hyde Park
Bila berdiri di antara pepohon rimbun 
     di Hyde Park 
aku teringat sebidang tanah luas pemberian 
     ayah di kampung 
betapa sebelumnya ia adalah tanah hutan dara 
setelah ditebang pokok dan dibersihkan semak 
kemudian dibiarkan kering dan dibakar
 dan setelah berkali-kali ditanam padi 

menjadi huma bukit milik keluarga.

 Maksud Rangkap 1: Apabila penyajak berada di Hyde Park, beliau teringat sebidang tanah yang agak luas pemberian ayahnya di kampung. Asalnya tanah tersebut hutan dara tetapi telah diterokai oleh ayahnya. Tanah itu kemudiannya ditanam dengan padi huma setiap tahun dan merupakan milik keluarga.

Atas munggu itulah aku selalu berdiri 
      bersama ayah 
sama ada ketika padi membesar 
      atau semasa menghalau burung pipit 
atau membaiki langkau dan tempat jemuran padi 
atau saja-saja santai antara panggilan emak 
      bila memerlukan air kopi 
atau bila kemudiannya menemani ayah 
      menanam anak getah 
atau membetulkan barisan ladanya.
Maksud Rangkap 2:Penyajak sering berdiri di atas busut bersama ayah ketika melihat padi yang sedang membesar, ketika menghalau burung, membaiki tempat jemuran padi atau saja-saja berehat sementara menunggu panggilan emak yang memerlukan air, menemani ayah menanam getah atau menanam lada.
 
Bagaikan membahas isu utama dunia di 
     Sudut Pidato 
di situlah ayah akan bercerita tentang erti 
     sebuah tanah 
tentang tanggungjawab penjagaan dan 
     pemeliharaannya 
betapa kegunaannya bisa berubah mengikut 
     ketentuan dan keperluan masa
segalanya kitalah yang menentukan dan tanah 
     sedia menerima tanpa bicara.

Maksud Rangkap 3:Penyajak berasa berada di sudut pidato di Hyde Park berbicang tentang isu-isu penting ketika mendengar ayahnya bercerita tentang tanah iaitu tanggungjawab menjaga dan memelihara tanah. Penggunaan nya sentiasa berubah mengikut peredaran dan keperluan semasa yang ditentukan oleh pemiliknya.

Di situlah ayah sering mengingatkan 
     erti sebuah amanah 
kitalah mencorakkan dan membentuk 
     tanah ini mengikut kesesuaian 
dan sekiranya alpa, tanah ini akan kembali 
    semula menjadi milik alam semesta.


Maksud Rangkap 4:Penyajak diingatkan oleh ayahnya tentang amanah memelihara tanah di mana kitalah bertanggungjawab mencorakkan tanah tersebut mengikut kesesuaian dan sekiranya kita lupa akan amanah tersebut tanah tersebut akan kembali kepada asalnya.

 
Bertemakan amanah 
Penjajak menjelaskan bahawa apabila seseorang diamanahkan tentang sesuatu perkara beliau hendaklah memikul dengan penuh tanggung jawab menjaga tanah supaya tidak menimbulkan sebarang masalah.

Contohnya :

Di situlah ayah sering mengingatkan
    erti sebuah amanah
kitalah mencorakkan dan membentuk
    tanah ini mengikut kesesuaian
dan sekiranya alpa, tanah ini akan kembali
    semula menjadi milik alam semesta


Persoalan tentang kasih sayang Penjajak menggambarkan betapa rapatnya hubungan beliau dengan ayahnya yang sering bercerita tentang sesuatu peristiwa Contohnya :

di situlah ayah akan bercerita tentang erti
     sebuah tanah
tentang tanggungjawab penjagaan dan
     pemeliharaannya
betapa kegunaannya bisa berubah mengikut
     ketentuan dan keperluan masa




Persoalan gigih berusaha. 
Penjajak menjelaskan betapa kuat ayah dan ibu penyajak berusaha meneroka tanah bertujuan untuk bercucuk tanam padi huma, getah dan lada. Contohnya :

betapa sebelumnya ia adalah tanah hutan dara 
setelah ditebang pokok dan dibersihkan semak 
kemudian dibiarkan kering dan dibakar 
dan setelah berkali-kali ditanam padi 
menjadi huma bukit milik keluarga.

PERSOALAN KERAJINAN
Ayah penyajak rajin mengusahakan tanah dengan pelbagai jenis tanaman
Silih berganti bagi meningkatkan ekonomi keluarga.
Contoh:
  atau bila kemudiannya menemani ayah
   menanam anak getah
  atau membetulkan barisan ladanya.


Semuga maklumat yang dipaparkan diblog ini dapat dimanfatkan bersama dan jika ada sebarang  kekurangan harap dimaafkan dan jika ada penambahbaikkan bolehlah dikongsikan diblog ini sila catatkan ulasan anda...













 

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Bawah Artikel