Soalan Percubaan Kesusasteraan Melayu kertas 2 Kelantan 2010
17:24
Edit
SULIT



922/2
Kesusasteraan Melayu
Kertas 2
2010
3 Jam
PERSATUAN KEBANGSAAN PENGETUA-PENGETUA
SEKOLAH MENENGAH MALAYSIA
CAWANGAN KELANTAN
PEPERIKSAAN PERCUBAAN
SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA 2010
(MALAYSIA HIGHER SCHOOL CERTIFICATE)

KESUSASTERAAN MELAYU
KERTAS 2
(Penghayatan Kesusasteraan Melayu Moden)
Masa : Tiga Jam

Arahan kepada calon:
Jawab empat soalan sahaja: satu soalan daripada tiap-tiap Bahagian A, B, C, dan D.
Markah untuk tiap-tiap soalan diberikan dalam tanda kurung [ ].

Kertas soalan ini mengandungi 8 halaman bercetak
STPM 922/2 [ Lihat sebelah]
Bahagian A : SEJARAH KESUSASTERAAN MELAYU MODEN DAN KRITIKAN SASTERA
1. Perkembangan genre novel tahun 1920-an memperlihatkan bentuknya yang masih terikat dengan sastera tradisi khususnya cerita penglipurlara, dan sebenarnya tidak banyak menimbulkan persoalan
Berdasarkan pernyataan tersebut,
(a). Nyatakan dua tokoh penting dalam sejarah perkembangan genre novel pada tahun 1920-an. [ 4 ]
(b). Huraikan apakah persoalan-persoalan yang mewarnai genre novel pada era tersebut [ 9 ]
(c). Bincangkan persamaan yang wujud antara genre novel dengan cerita penglipurlara dalam sastera tradisi. [12]
2. Kritikan pada tahun-tahun 50-an mempunyai pendekatan yang beragam. Yang banyaknya ialah kritikan realisme yang mengarah untuk membentuk masyarakat sasterawan yang mahukan sastera dilihat daripada kaca mata keindahan adalah amat sedikit, di samping adanya yang berkecuali.
Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan berikutnya
a). Nyatakan dua tokoh pengkritik yang aktif dalam penulisan kritikan pada era 1950-an. [ 4 ]
b). Huraikan corak kritikan yang telah dihasilkan oleh pengkritik-pengkritik
era 50-an [15]
c). Jelaskan bentuk kritikan yang dihasilkan oleh pengkritik daripada kalangan pengkritik era 50-an. [ 6 ]
Bahagian B: NOVEL DAN CERPEN.
Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini.
3. Baca petikan novel di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya;
“ Entahlah. Yang Berhormat memang tidak beritahu saya pak su dan pak long pun akan datang.”
“Apa agaknya hajat mereka?”
“Wallahu a’alam. Nantilah kita tanya.”
Tuk Empat Dahlan dan Imam Saad telah diberitahu dan telah tiba, lalu bersama Sudin dan Pak Salim pergi menyonsong ke tepi jalan.
Sudin berasa amat gelisah. Dia melihat jam tangannya. Perjumpaan sepatutnya telah bermula setengah jam yang lalu. Sekarang telah pukul sebelas setengah. Waktu Jumaat akan tiba kira-kira satu jam lagi. Rombongan Yang Berhormat dengan pak su masih lagi bercakap-cakap dengan rombongan yang menyongsong.
“Alhamdulillah nampaknya orang kampung memberi sambutan yang hebat. Mereka telah menunggu lama. Ada yang datang awal-awal pagi.”
( Dipetik daripada novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur 2003, halaman 173 )
a) Siapakah pak su dan pak long dalam petikan di atas. [ 4 ]
b) Huraikan tiga aspek penting yang mengukuhkan plot berserta dengan contohnya yang terdapat dalam petikan di atas. [ 9 ]
c) Huraikan tiga bentuk nilai kemanusiaan yang diperlihatkan oleh watak pak su terhadap penduduk kampung dalam novel di atas. [ 12 ]
4. Baca petikan di bawah dan jawab soalan yang mengikutinya.
Aku tunduk menghadap ayah tiriku.
“Orang sini semua tahu! Sama ada kau betul atau salah, mereka tidak persoal lagi.Mereka sudah tahu yang kau sudah mencemarkan nama aku dan nama ibumu”
Aku hanya menitiskan air mata.Ibu hanya merenungku sahaja.Dan,apbila wajah ibu yang aku sayang kucuba perhati, dia tidak mengalihkan pandangannya kea rah lain.Aku gembira sekali.Aku tahu yang ibu tetap di sebelahku.Kasih-sayangnya padaku tidak pernah berganjak.Dan, kejadian itu memang sekali adalah suratan nasibku.
Tiba-tiba ibu mahu bersuara.Tentu ibu mahu membelaku agaknya.Tetapi, ayah tiriku cepat memotong. “Sudahlah! Kau sudah siap dengan segala barang-barangmu?”
(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (peny), 2003,
Cerpen “Perjalanan yang Tak Direncana” dalam Mutiara Sastera Melayu Moden, Kuala Lumpur ,Dewan Bahsa dan Pustaka, hal 133)
a) Nyatakan nama Aku dan latar tempat dalam petikan di atas [ 3 ]
b) Apakah pesanan ayah tiriku sebelum petikan di atas [ 4 ]
c) Jelaskan perbuatan Aku yang “mencemarkan nama aku dan nam ibumu”. [ 6 ]
d) Huraikan dua perwatakan positif dan dua perwatakan negatif Aku dalam
cerpen ini. [12]
Bahagian C : DRAMA
Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini
5) Baca petikan drama di bawah ini,dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya:
RAHIMAH: Memang tak kenal. (Memandang ke lain)
MAK RAHIMAH: Hai, Rahimah... (meletakkan bakul) aku rasa aku tak silap, Rahimah. Kau adalah anak aku, anak kandungku sendiri. Aku bersyukur, kau selamat balik ke tanah air. Aku gembira Encik Dahlan lulus ilmu undang-undang dan dapat jadi majistret. Ambillah bakul ini, Rahimah, buah tangan mak dari kampung. (Menunjukkan bakul).
RAHIMAH: Tidak, rumah ini tak kurang apa-apa. Bawa balik. Buat malu saja.
MAK RAHIMAH: Jangan begitu, Rahimah...mengucap, Rahimah...ini mak, Rahimah. (Memandang Rahimah dengan sedih).
RAHIMAH: Tidak, mak aku bukan serupa ini. Amin, suruh perempuan tua ini keluar.
AMIN : Baik, encik( berjalan mendapatkan Mak Rahimah). Mak Cik, bawalah balik barang-barang ini. Baliklah, mak cik . Encik tak beri lama di sini.
(Rahimah perlahan berjalan sambil membetulkan susunan buku-buku di atas meja)
MAK RAHIMAH: Rahimah, (menangis) sampai hati kau, nak. Sampai hati kau menghalau aku. Ibu kandung kau, kau halau. (Mengesat-ngesat air mata) Rupa- rupanya kua dah lupa dan tak kenalkan aku lagi.
( dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny.] , 2010
Mutiara Sastera Melayu Moden, Kuala Lumpur. DBP,hlm 195)
a) Siapakah Mak Rahimah? Jelaskan balasan yang diterima oleh Rahimah setelah beliau menghalau perempuan tua itu? [ 8 ]
b) Huraikan tiga mesej yang ingin dikemukakan oleh pengarang melalui peristiwa dalam petikan di atas. [ 9 ]
c) Jelaskan empat fenomena sosial yang tidak menyenangkan dalam drama Lawyer Dahlan. [ 8 ]
6) Baca drama di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya:
a) Jelaskan persamaan nilai yang terdapat pada watak Minah dan Cik Lijah dalam drama Malam Ini Penyu Menangis karya Noordin Hassan. [ 9 ]
b). Huraikan citra masyarakat nelayan yang dipaparkan dalam drama di atas. [12 ]
c) Huraikan dua pengajaran yang terdapat dalam drama. [4 ]
Bahagian D: SAJAK
Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini
7. Baca sajak di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.
Doa Terakhir
Zaihasra
Yang kupeluk tubuh lelahmu
yang kucium rambut lusuhmu
yang berderai air mataku, dingin subuh
menggigit kulit dan jantungku berdetap
ketika embun turun mencecah bumi 5
menghitung denyut waktu saat akhir nafasmu
membawa pergi apa yang kummiliki !
Ibunda,
selamanya kedengar deburan ombak hidupmu
seadanya kutampung penderitaanmu, sedang kudratku 10
lemah untuk menahannya ; doaku mungkin lewat terkabul
di mana pada alam luas ini suaraku sering tenggelam punca
betapa pilunya embun terakhir menyentakku
tiada lagi senyum di bibir lukamu .
Ibunda, 15
kalaulah mungkin aku berdosa
setelah kita saling bermaaf ;
janganlah kau bawa lukaku bersamamu
aku telah belajar membaca wajah laut
mengoyak wajak pasir, menyibak suria 20
menggenggam angin menyusuri wajah malam
namun, maafkan aku demi cintamu.
Pulanglah bonda ke dalam kehidupan yang abadi
setelah datang dengan berani
akan kukenang matamu dalam merenungku 25
mengungkap penyerahan hayat
perjalanan 74 begitu panjang pertarungan
suka duka adalah impian kau membangunkan mimpi
dan aku adalah benteng yang mendepani
kehidupanmu. 30
bagaikan batu pualam
onggokan pusaramu
memanggilku pulang
ke kampung laman
setelah lama dan jauh , musafir dan berkelana 35
pedih mataku berair mata
segenggam rindu menjadi selaut duka
setabah dukaku menampung rasamu.
Ibunda,
meski di sini kita berpisah 40
dan di tamanku belum selesai kutanam bunga
kau adalah segalanya bagiku
tenang dan tenanglah
dalam doaku kita pasti bertemu.
Dewan Sastera, April 1998
Dewan Bahasa dan Pustaka.
(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia[peny.], 2003.
Mutiara Sastera Melayu Moden.
Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur. Hal. 292-293).
(a) Jelaskan empat perlakuan penyajak terhadap ibunya dalam sajak
tersebut. [8]
(b) Huraikan tiga mesej berserta contoh yang ingin dikemukakan penyajak
dalam sajak tersebut. [9]
(c) Huraikan empat unsur perulangan berserta contoh yang terdapat dalam
di atas. [8]
8. Baca sajak di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.
www.sibermerdeka.com.my
A. Ghafar Ibrahim
Dalam kebun diriku
aku tanam saujana rancangan
untuk memerdekakan warga susahku
hidup menentang senja dan malam.
Dalam parlimen diriku 5
aku bahas isu onak dan enak
untuk kumerdekakan warga fikirku
mengelak hidup diperkotakkatikkan.
Dalam laut diriku
ombak gelora memanpar pantai aman 10
untuk menguji amal dan iman.
Dalam gergasi diriku
terpedaya jua oleh permainan si kancil
namun sempat sedar dan beringat lagi.
Dalam pentas diriku 15
aku berlatih menangkis angin
aku berlatih memunggah awan
menghayati skrip demi skrip
yang tak diduga klimaksnya.
Dalam dewan diriku 20
aku tak cemas lagi
oleh kata yang mengekang
aku tak lemas lagi
oleh kata yang menyerang.
Apabila siber merdeka sampai 25
ke rumah cabaranku
aku panggil diriku bermesyuarat
menyokong, berkecuali atau menentang
aku ambil keputusan
waktu itu aku kenal batas diri 30
untuk tidak mengulangi kekalahan.
Kini, kapal diriku telah berlabuh
di pangkalan usia
aku turun darinya 35
mengadap hidup nyata
peristiwa datang peristiwa pergi
bagai siang memanggil malam
dan siber merdeka terus berkaca
terus mengalirkan arus ingatan : 40
elakkan dirimu menjadi sia-sia
hamparkan dirimu di persada Tuhan.
Dewan Sastera, Ogos 2001
Dewan Bahasa dan Pustaka.
(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia[peny.], 2003.
Mutiara Sastera Melayu Moden.
Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur. Hal. 310-311.
(a) Terangkan hubungan antara judul dengan kandungan sajak di atas. [ 4 ]
(b) Huraikan tiga pemikiran penyajak dalam sajak di atas. [ 6 ]
(c) Dengan memberikan contoh yang sesuai, huraikan lima unsur gaya bahasa sajak di atas yang mengangkat nilai estetik sajak tersebut. [15]