Skema Percubaan KM 2 Moden Kelantan 2010
17:31
Edit
SULIT
922/2
Kesusasteraan Melayu
Kertas 2
2010
3 Jam
PERSATUAN KEBANGSAAN PENGETUA-PENGETUA
SEKOLAH MENENGAH MALAYSIA
CAWANGAN KELANTAN
PEPERIKSAAN PERCUBAAN
SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA 2010
(MALAYSIA HIGHER SCHOOL CERTIFICATE)

SKEMA PERMARKAHAN
KESUSASTERAAN MELAYU
KERTAS 2
(Penghayatan Kesusasteraan Melayu Moden)


Kertas Skema ini mengandungi 29 halaman bercetak
Skema Jawapan: (soalan 1)
1. Perkembangan genre novel tahun 1920-an memperlihatkan bentuknya yang masih terikat dengan sastera tradisi khususnya cerita penglipurlara, dan sebenarnya tidak banyak menimbulkan persoalan
Berdasarkan pernyataan tersebut,
(a). Nyatakan dua tokoh penting dalam sejarah perkembangan genre novel pada tahun 1920-an. [ 4 ]
(b). Bincangkan persamaan yang wujud antara genre novel dengan cerita penglipurlara dalam sastera tradisi. [12]
(c). Huraikan apakah persoalan-persoalan yang mewarnai genre novel pada era tersebut [ 9 ]
Ceraian (a).
Tokoh penting dalam genre novel dekad 1920-an
i. Syed Sheikhb Al-Hadi 2 markah
ii. Ahmad Rashid Talu 2 markah
Pilih 3 isi sahaja
1 isi = 4 markah (2 markah fakta dan 2 markah Huraian / Contoh)
3 isi x 4 markah= 12 markah
Ceraian (b).
persoalan-persoalan yang mewarnai genre novel pada era tersebut
F1: Persoalan pertembungan Timur Barat.
H/C: Menyentuh isu tentang keburukan pengaruh budaya barat yang meninggalkan kesan moral, keruntuhan akhlak serta gejala negatif seperti judi, minum arak berfoya-foya dan sebagainya. Contoh novel ”Kawan Benar” oleh Ahmad Rasyid Talu yang mengisahkan Abd. Bar yang leka dengan budaya barat sehingga menjadi seorang kaki botol.
F2: Persoalan Kahwin Paksa.
H/C: Penentuan jodoh oleh orang tua tidak mendatangkan kebahagiaan serta mengakibatkan keruntuhan rumahtangga. Contoh ”Hikayat Faridah Hanum” oleh Syed Sheikh Al-Hadi, yang memaparkan Faridah Hanum dipaksa berkahwin dengan Badaruddin tanpa kerelaanya.
F3: Persoalan Emasipasi Wanita
H/C: Kebebasan hak wanita dalam menentukan nasib terutama dalam memilih jodoh hidup sendiri serta mendapatkan hak untuk pendidikan. Contohnya novel ”Iakah Salmah” karya Ahmad Rasyid Talu, watak utamanya Salmah seorang yang berkelulusan Junior Cambrigde.
F4: Persoalan Kepentingan Pelajaran bagi anak-anak Melayu.
H/C: Menyentuh soal kepentingan pelajaran, pengetahuan tinggi dalam pelbagai jurusan dan cara membentuk anak-anak Melayu dalam pelajaran. Contoh, novel Iakah Salmah oleh Ahmad Rasyid Talu yang mengisahkan ketinggian ilmu yang dimiliki oleh Salmah.
F5: Persoalan Tentang Nilai Moral
H/C: Nilai-nilai moral yang baik turut menjadi sebahagian isu yang diketengahkan termasuklah nilai-nilai persahabatan dan kesetiaan. Contoh, Novel ”Kawan Benar” karya Ahmad Rasyid Talu, watak Siti Ramlah yang setia kepada Abdul Bar walaupun suaminya seorang kaki judi.
F6: Persoalan Percintaan Muda-mudi
H/C: Isu percintaan percintaan turut mewarnai karya-karya novel 1920-an, yang menyaksikan wujudnya halangan dari kalangan orang tua. Contoh ”Hikayat Faridah Hanum” karya Syed Sheikh Al-Hadi yang mengisahkan percintaan antara Faridah dengan Shafik Afandi yang dihalang oleh orang Faridah Hanum.
F7: Persoalan berkaitan dengan agama Islam
H/C: Menyebarkan tranformasi pemikiran Islam yang lebih moden, selaras dengan pemikiran tokoh reformasi Islam dari Mesir Muhammad Abduh Contoh: Novel Hikayat Faridah Hanum – menceritakan pergolakkanPercintaan yang turut memuatkan pemikiran modenisasi Islam.
F8: Persoalan Berkaitan Ekonomi
H/C: Kedudukan ekonomi masyarakat Melayu yang masih mundur ditambah pula sikap orang Melayu yang suka membazir wang sehingga jatuh miskin. Contohnya, novel “Hikayat Khalik dan Malik, watak Malik yang membantu rakanya Khalid yang jatuh miskin akibat terlalu boros.
Pilih 3 isi sahaja
1 isi = 3 markah (2 markah fakta dan 1 markah Huraian/Contoh)
3 isi x 3 markah = 9 markah
Ceraian (c).
Persamaan antara genre novel dengan cerita penglipurlara.
F1: Persamaan penggunaan hikayat sebagai Judul
H/C: Berdasarkan pada beberapa karya novel zaman sebelum perang jelas menunjukkan ada pertalian antara judul novel dengan cerita-cerita penglipurlara yang menggunakan hikayat sebagai judul Contohnya, Hikayat Faridah Hanum oleh Syed Sheikh Al-Hadi Hikayat Khalik dan Malik oleh Zulkarnain Yaakob.
F2: Persamaan dari segi struktur Plot
H/C: Struktur plot dalam novel awal menyamai struktur plot dalam cerita-cerita penglipurlara, antaranya dari aspek pengembaraan penggunaan pantun dan syair Contoh dalam Hikayat Faridah Hanum, unsur kebetulan digunakan iaitu pertemuan Faridah Hanum dengan Shafik Afandi.
F3: Persamaan dari segi memaparkan tentang kisah cinta.
H/C: Soal percintaan antara teruna dara, sering dijadikan persoalan utama dalam cerita- cerita penglipurlara begitu juga dengan novel sebelum perang. Contoh: Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan oleh Ahmad Kotot yang memaparkan percintaan antara Yazid dan Zamrud.
F4: Persamaan dari segi percintaan yang mendapat halangan
H/C: Seperti juga cerita-cerita penglipurlara, percintaan tidak segera ke jinjang pelamin, sebaliknya percintaan sering diuji dengan pelbagai halangan. Contoh, Hikayat Faridah Hanum percintaan antara Faridah dan Shafik Afandi terhalang menyebabkan Faridah terpaksa berkahwin dengan Badarudin Afandi.
F5: Persamaan dari segi unsur-unsur kebetulan.
H/C: Unsur kebetulan sering digunakan untuk mempertemukan watak-watak yang terpisah dalam cerita-cerita penglipurlara. Dalam novel awal, unsur ini juga digunakan contoh dalam Hikayat Faridah Hanum, setelah tiga tahun terpisah, Shafik Afandi kembali ke Mesir dan kebetulan dia menyewa berhadapan dengan rumah Faridah Hanum.
F6: Persamaan dari sudut penampilan watak
H/C: Walaupun tidak lagi menggunakan watak-watak yang terdiri daripada anak-anak raja, namun dari segi penampilan watak masih memperlihatkan persamaan terutama dari segi kedudukan dalam masyarakat, rupa paras. Contoh dalam Hikayat Khalik dan Malik mengemukakan kisah watak saudagar kaya yang dihormati .
F7: Persamaan dari segi memberikan pengajaran secara berkhutbah
H/C: Kata-kata nasihat yang disampaikan oleh pengarang secara langsung menerusi watak- watak yang terlibat di dalam cerita. Contohnya, menerusi novel ”PerjodohanYang Setia” oleh A.Hamid Hj.Ahmad, nasihat yang disampaikan oleh Ibrahim kepada anak saudaranya Arshad soal memilih jodoh.
Pilih 3 isi sahaja
1 isi = 4 markah (2 markah fakta dan 2 markah Huraian / Contoh)
3 isi x 4 markah= 12 markah
Soalan 2
2. Kritikan pada tahun-tahun 50-an mempunyai pendekatan yang beragam. Yang banyaknya ialah kritikan realisme yang mengarah untuk membentuk masyarakat sasterawan yang mahukan sastera dilihat daripada kaca mata keindahan adalah amat sedikit, di samping adanya yang berkecuali.
Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan berikutnya
a). Nyatakan dua tokoh pengkritik yang aktif dalam penulisan kritikan pada era 1950- an. [ 4 ]
b). Huraikan corak kritikan yang telah dihasilkan oleh pengkritik-pengkritik
era 50-an [15]
c). Jelaskan bentuk kritikan yang dihasilkan oleh pengkritik daripada kalangan pengkritik era 50-an. [ 6 ]
Soalan 2 (Kritikan Sastera)
Skema pemarkahan.
Ceraian (a).
dua tokoh pengkritik yang aktif dalam penulisan kritikan pada era 1950-an.
i. Asraf 2 markah
ii. Hamzah 2 markah
iii. Keris Mas 2 markah
iv. Awa mil-Sarkam 2 markah
Pilih 2 isi sahaja
1 isi = 2 markah
2 isi x 2 markah = 4 markah
Ceraian (b) Corak kritikan
F1: Kritikan berasaskan percanggahan falsafah berkarya.
H/C: Falsafah seni di antara ”Seni untuk masyarakat’ dengan ”Seni untuk seni” telah menambahkan kerancakkan dalam bidang kritikan kesusasteraan.Seni untuk masyarakat telah didukungi oleh Asraf, A.Samad Ismail, Keris Mas manakala seni untuk seni pula dianuti oleh Hamzah.
F2: Kritikan lebih mementingkan mesej,persoalan,pengajaran dan memberi kesedaran.
H/C: Kebanyakkan karya sastera yang ditulis oleh kebanyakkan penulis ASAS 50 inginkan karya sastera berarah,berfalsafah dan bermatlamatkan kesedaran masyarakat pembaca.
F3: Kritikan turut menekankan Fungsi sosial
H/C: Karya sastera yang memberi tumpuan dan penekanan pada fungsi sosial akan dilihat sebagai karya yang berjaya dan jika sebaliknya ianya akan di anggap gagal.Kiteria inilah yang tidak dipersetujui oleh Hamzah, kerana baginya sastera mestilah berfungsi mendidik dan menghiburkan.
F4: Kritikan menggunakan pendekatan Formalistik
H/C: Aspek-aspek gaya bahasa, plot dan perwatakan turut menjadi tumpuan untuk dianalisis dalam kebanyakan kritikan yang ditulis oleh kebanyakkan penulis ASAS 50.
F5: Kritikan berkisar kepada pemasalahan keunggulan karya sastera.
H/C: Karya-karya sastera yang paling unggul ialah karya sastera yang secara totalnya memihak dan membangunkan rakyat. Ini jelas dalam esei asraf yang berjudul ”Mencari Pembaharuan dalam Kesusasteraan Melayu ” (Mastika, Mei 1950).
F6: Kecenderungan bentuk kritikan kepada sesuatu ideologi atau pegangan tertentu.
H/C: Kebanyakan esei kritikan yang ditulis berkisar pada ideologi tertentu iaitu sama ada ideologi ” Seni untuk masyarakat” ataupun ”Seni untuk seni”.
F7: Kritikan-kritikan teori yang menintikberatkan permasalahan estetik sastera tidak diterima.
H/C: Kritikan-kritikan yang agak terbuka dan membicarakan soal estetika karya sastera tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Ini adalah kerana slogan ASAS 50 yang lebih dominan telah menyebabkan kritikan tersebut ditolak. Dimana Hamzah yang banyak membicarakan soal estetika karya sastera tidak mendapat perhatian yang sewajarnya dan kemudiannya dia telah disingkirkan daripada pertubuhan ASAS 50.
F8: Kritikan sastera tidak begitu tersusun dengan baik .
H/C: Persoalan dan idea tentang sastera sering dicampuradukkan dengan soal-soal peribadi sehingga kritikan-kritikan sastera yang terhasil menjadi lebih bersifat krisis peribadi.
Pilih 3 isi sahaja
1 isi = 5 markah (2 markah fakta, 3 markah Huraian/contoh)
3 isi x 5 markah = 15 markah
Ceraian (c).
Jelaskan bentuk kritikan yang dihasilkan oleh pengkritik
F1: Berbentuk kritikan realisme / kritikan sosiologi
H/C: Lebih memberatkan pembentukan masyarakat ianya turut dikenali sebagai kritikan sosiologi sepertimana kritikan yang dilakukan oleh Asraf yang menekankan sastera seharusnya menjadi alat untuk menyedarkan masyarakat.
F2: Berbentuk objektif / kritikan formalistik
H/C: Sastera seharusnya berbicara sebagai sastera, ianya harus mempunyai nilai seni yang tinggi. Seperimana yang disuarakan oleh Hamzah yang berteraskan slogan ”Seni Untuk Seni”.
F3: Berbentuk kritikan sanjungan
H/C: menyanjung karya-karya yang membincangkan perihal kemasyarakatan, sanjungan yang lebih pada tema terutamanya dalam hubungannya dengan nasionalisme.
F4: Berbentuk semiilmiah
H/C: Lebih menjuruskan sastera ke arah kemasyarakatan dan kurang mementingkan aspek estetika yang seharusnya diberi penekanan. Pandangan yang intelektual tidak dititikberatkan.
Pilih 2 isi sahaja
1 isi = 3 markah (2 markah fakta, 1 markah Huraian/Contoh)
2 isi x 3 markah = 6 markah
3. Baca petikan novel di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya;
“ Entahlah. Yang Berhormat memang tidak beritahu saya pak su dan pak long pun akan datang.”
“Apa agaknya hajat mereka?”
“Wallahu a’alam. Nantilah kita tanya.”
Tuk Empat Dahlan dan Imam Saad telah diberitahu dan telah tiba, lalu bersama Sudin dan Pak Salim pergi menyonsong ke tepi jalan.
Sudin berasa amat gelisah. Dia melihat jam tangannya. Perjumpaan sepatutnya telah bermula setengah jam yang lalu. Sekarang telah pukul sebelas setengah. Waktu Jumaat akan tiba kira-kira satu jam lagi. Rombongan Yang Berhormat dengan pak su masih lagi bercakap-cakap dengan rombongan yang menyongsong.
“Alhamdulillah nampaknya orang kampung memberi sambutan yang hebat. Mereka telah menunggu lama. Ada yang datang awal-awal pagi.”
( Dipetik daripada novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur 2003, halaman 173 )
a) Siapakah pak su dan pak long dalam petikan di atas. [ 4 ]
b) Huraikan tiga aspek penting yang mengukuhkan plot berserta dengan contohnya yang terdapat dalam petikan di atas. [ 9 ]
c) Huraikan tiga bentuk nilai kemanusiaan yang diperlihatkan oleh watak pak su terhadap penduduk kampung dalam novel di atas. [ 12 ]
Soalan 3
Skema Permarkahan
( a) Siapakah
Watak pak su En Muhammad [ 2 markah ]
Watak pak long Penghulu Mahmud [ 2 markah ]
( b) tiga aspek penting yang mengukuhkan plot berserta dengan contohnya yang terdapat dalam petikan
F1: Mempunyai Unsur Ketegangan / tanda tanya
H/C: Ketegangan merujuk pada usaha menyembunyikan sesuatu kejadian (agar menjadi tanda tanya kepada pembaca) ”Apa agaknya hajat mereka?” Pembaca pasti akan tertanya tentang hajat yang dimaksudkan.
F2: Adanya Unsur Konflik
H/C: Konflik yang melibatkan pertentangan yang terjadi dalam diri watak, ”Sudin berasa amat gelisah.” konflik dalaman watak Sudin.
F3: Adanya Klimaks
H/C: Klimaks ialah puncak cerita / keadaan paling genting dalam sesbuah cerita, ”Perjumpaan sepatutnya telah bermula setengah jam yang lalu. Sekarang telah pukul sebelas setengah. Waktu Jumaat akan tiba kira-kira satu jam lagi.”
F4: Peleraian
H/C: Pengakhiran dalam sesebuah peristiwa, yang bermatlamat mengakhiri kisah yang terjadi. ”Alhamdullilah nampaknya orang kampung memberi sambutan yang hebat.”
F5: Penggunaan Pelbagai Teknik Penceritaan
H/C: Menimbulkan kelainan dan menjadikan cerita lebih bervariasi dan menarik untuk dibaca oleh pembaca. Teknik Pemerian/naratif/penceritaan secara langsung Gambaran tentang sesuatu peristiwa, kejadian dan seseorang watak yang dinyatakan secara langsung oleh pengarang. Pengarang menceritakan secara langsung suasana kegelisahan yang dialami oleh Sudin. Sudin berasa amat gelisah. Dia melihat jam tangannya.
F6: Teknik imbas kembali
H/C: Satu teknik penceritaan pengarang menyajikan babak atau peristiwa yang telah berlaku.
Sudin mengimbas kembali tentang perjumpaan yang sepatutnya telah bermula setengah jam yang lalu.
F7: Teknik Dialog
H/C: Kata bual atau perbualan yang melibatkan dua watak atau lebih.Dialog antara Sudin dengan YB Mohd Yusof tentang kehadiran En.Muhammad dan penghulu Mahmud di Kampung Pulai dalam majlis penerangan kepada penduduk kampung untuk ke rancangan
FELDA.
Pilih 3 isi sahaja
1 isi = 3 markah ( 2 markah fakta, 1 markah Huraian/Contoh)
3 isi x 3 markah = 9 markah
Ceraian (c) Tiga bentuk nilai kemanusiaan pak su terhadap penduduk kampung.
F1: Simpati
H/C: En Muhammad bersimpati terhadap nasib penduduk kampung Pulai yang menumpang di tanah keluargannya. Beliau berjanji akan memberikan pertolongan supaya mereka mendapat bantuan dan kemudahan pindah ke rancangan FELDA yang diusahaka menerusi YB Muhd Yusof.
F2: Belas Kasihan
H/C: En Muhammad berjanji akan membayar saguhati kepada penduduk kampung Pulai yang mengerjakan tanah keluarganya.
F3: Bersopan / menghormati
H/C: En Muhammad penuh sopan dan menghormati penduduk kampung Pulai dengan berbual mesra dan bertanya khabar serta bersalam-salaman dengan semua penduduk kampung tanpa mengira kedudukan mereka.
F4: Dermawan / pemurah
H/C: En Muhammad menghulurkan derma sebanyak RM10,000 kepada penduduk kampung Pulai untuk menjayakan majlis sambutan hari keputeraan Sultan.
F5: Prihatin / mengambil berat
H/C: En Muhammad cukup prihatin dengan nasib penduduk kampung Pulai yang miskin dan ketinggalan daripada arus pembangunan .Beliau berusaha memindahkan penduduk kampung ke rancangan FELDA bagi menaikkan taraf ekonomi masyarakat kampung Pulai.
Pilih 3 isi sahaja
1 isi = 4 markah ( 2 markah fakta, 2 markah Huraian/Contoh )
3 isi x 4 markah = 12 markah
4. Baca petikan di bawah dan jawab soalan yang mengikutinya.
Aku tunduk menghadap ayah tiriku.
“Orang sini semua tahu! Sama ada kau betul atau salah, mereka tidak persoal lagi.Mereka sudah tahu yang kau sudah mencemarkan nama aku dan nama ibumu”
Aku hanya menitiskan air mata.Ibu hanya merenungku sahaja.Dan,apbila wajah ibu yang aku sayang kucuba perhati, dia tidak mengalihkan pandangannya kea rah lain.Aku gembira sekali.Aku tahu yang ibu tetap di sebelahku.Kasih-sayangnya padaku tidak pernah berganjak.Dan, kejadian itu memang sekali adalah suratan nasibku.
Tiba-tiba ibu mahu bersuara.Tentu ibu mahu membelaku agaknya.Tetapi, ayah tiriku cepat memotong. “Sudahlah! Kau sudah siap dengan segala barang-barangmu?”
(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (peny), 2003,
Cerpen “Perjalanan yang Tak Direncana” dalam Mutiara Sastera Melayu Moden,Kuala Lumpur,Dewan Bahsa dan Pustaka, hal 133)
a) Nyatakan nama Aku dan latar tempat dalam petikan di atas [ 3 ]
b) Apakah pesanan ayah tiriku sebelum petikan di atas [ 4 ]
c). Jelaskan perbuatan Aku yang “mencemarkan nama aku dan nam ibumu” . [ 6 ]
d). Huraikan dua perwatakan positif dan dua perwatakan negatif Aku dalam
cerpen ini. [12]
Soalan 4
Skema Pemarkahan
a) Nyatakan nama Aku dan latar tempat dalam petikan di atas [3]
Aku Jarah [2 markah]
Latar tempat rumah / kampung / rumah ibu bapa Jarah [1 markah]
b) Apakah pesanan ayah tiriku sebelum petikan di atas [4]
F1- kerja baik-baik dan pergi ke sana buat seperti orang yang hendak bekerja
F2- Jangan conteng arang di muka orang tua/ ibu bapa
Pilih 2 isi sahaja
1 isi = 2 markah
2 isi x 2 markah = 4 markah
c) Jelaskan perbuatan Aku yang “mencemarkan nama aku dan nama ibumu”. [6]
F1: Aku pergi ke pesta Main Pantai seorang diri
F2: Pada malam itu, Aku ketinggalan bas, lalu menumpang tidur di bilik seorang bujang
F3: Malam itu juga orang dari pejabat agama datang
F4: Mereka dituduh melakukan perbuatan jahat dan akhirnya mereka ditangkap
F5: Ayah tiri dan ibu Aku merasa malu terutama apabila orang kampung tahu Aku telah diperiksa oleh doktor
Pilih 3 isi
1isi =2 markah
3 isi x 2 markah = 6 markah
(d) Huraikan dua perwatakan positif dan dua perwatakan negatif Aku dalam cerpen ini. [12]
Perwatakan positif
F1: Penyayang
H/C: Aku menyayangi keluarganya terutama ibu yang sentiasa mempercayai kejujurannya
F2: Rajin
H/C: Aku rajin melaksanakan kerja-kerja rumah bagi mebantu meringankan bebanan kerja rumah Kak Ngah.
F3: Mengambil berat/prihatin
H/C: Menjaga anak-anak Kak Ngah dengan baik sehingga mereka dapat membesar dengan sihat tidak membiarkan mereka kelaparan atau tercedera.
F4: Patuh kepada orang tua
H/C: Aku patuh kepada arahan ayah tiri supaya meninggalkan kampung dan bekerja di rumah
Kak Ngah
F5: Ikhlas
H/C: Jarah ikhlas untuk bekerja sebagai orang gaji di rumah Kak Ngah .
Perwatakan negatif
F1: Mudah percaya kepada orang ramai
H/C: Jarah mempercayai Abang Soh yang baru dikenalinya dan terus mengikut lelaki itu pulang ke rumah.
F2: Tidak matang
H/C: Tidak dapat memikirkan kesan daripada perbuatan tidur di bilik orang bujang
F3: Terburu-buru
H/C: Bertindak terburu-buru melarikan diri dari rumah Kak Ngah tanpa mempedulikan kata- kata abang Ngah yang berjanji akan menghantarnya pulang pada bulan depan
F4: Keras hati / Degil
H/C: Jarah tetap dengan keputusannya untuk kembali semula ke Kelantan walaupun telah dinasihati Makcik Timah sedangkan dia tak pernah pulang seorang diri.
Pilih 4 sahaja ( 2 isi perwatakan positif dan 2 isi perwatakan negatif)
1 isi = 3 markah ( 2 markah fakta, 1 markah Huraian/ contoh)
4 isi x 3 markah = 12 markah
5) Baca petikan drama di bawah ini,dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya:
RAHIMAH: Memang tak kenal. (Memandang ke lain)
MAK RAHIMAH: Hai, Rahimah... (meletakkan bakul) aku rasa aku tak silap, Rahimah. Kau adalah anak aku, anak kandungku sendiri. Aku bersyukur, kau selamat balik ke tanah air. Aku gembira Encik Dahlan lulus ilmu undang-undang dan dapat jadi majistret. Ambillah bakul ini, Rahimah, buah tangan mak dari kampung. (Menunjukkan bakul).
RAHIMAH: Tidak, rumah ini tak kurang apa-apa. Bawa balik. Buat malu saja.
MAK RAHIMAH: Jangan begitu,Rahimah...mengucap,Rahimah...ini mak, Rahimah. (Memandang Rahimah dengan sedih).
RAHIMAH: Tidak, mak aku bukan serupa ini. Amin, suruh perempuan tua ini keluar.
AMIN : Baik, encik( berjalan mendapatkan Mak Rahimah). Mak Cik, bawalah balik barang- barang ini. Baliklah, mak cik . Encik tak beri lama di sini.
(Rahimah perlahan berjalan sambil membetulkan susunan buku-buku di atas meja)
MAK RAHIMAH: Rahimah, (menangis) sampai hati kau, nak. Sampai hati kau menghalau aku. Ibu kandung kau, kau halau. (Mengesat-ngesat air mata) Rupa- rupanya kau dah lupa dan tak kenalkan aku lagi.
( dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny.] , 2010
Mutiara Sastera Melayu Moden, Kuala Lumpur. DBP,hlm 195)
a) Siapakah Mak Rahimah? Jelaskan balasan yang diterima oleh Rahimah setelah beliau menghalau perempuan tua itu? [ 5 ]
b) Huraikan empat mesej yang ingin dikemukakan oleh pengarang melalui peristiwa dalam petikan di atas. [ 8 ]
c) Jelaskan empat fenomena sosial yang tidak menyenangkan dalam drama Lawyer Dahlan. [12 ]
Soalan 5
SKEMA JAWAPAN
(a) (i).Perempuan tua itu ialah:
- Mak Midah [1 markah]
- Ibu Rahimah [1 markah]
- Seorang janda [1 markah]
(ii).Balasan yang diterima ialah:
F1: Dihalau oleh Dahlan
H/C: Rahimah telah dihalau oleh Dahlan akibat daripada pertengkaran yang berlaku setelah Dahlan pulabg pada lewat malam.
F2: Diceraikan oleh Dahlan.
H/C: Dahlan telah menceraikan Rahimah setelah berlaku pertengkaran pada malam tersebut.
F3: Rumahtangga musnah
H/C: Rumahtangga Rahimah yang dibina dengan Dahlan atas dasar cinta telah musnah,malah Rahimah telah dihalau dari rumah tersebut,
F4: Keluar rumah dalam keadaan miskin.
H/C: Rahimah dihalau dari rumah oleh Dahlan setelah berlaku pertengkaran malah Rahimah dilarang mengambil sebarang barangan yang terdapat di rumah tersebut.
F5: Dihina oleh Dahlan
H/C: Rahimah telah dihina oleh Dahlan. Dahlan mengatakan Rahimah tidak sedar diri
kerana sebenarnya beliau yang memunggut Rahimah dari kampong dahulu.
Pilih 2 isi sahaja
1 isi = 2 markah ( 1 markah fakta, 1 markah huraian/contoh)
2 isi x 2 markah = 4 markah
Nota:Markah (i) + (ii) = 5 markah
(c) Mesej dalam petikan
F1: Pentingnya kita menuntut ilmu
H/C: Dahlan berjaya lulus ilmu undang-undang dan berjaya menjadi seorang majistret.
F2: sebagai seorang anak, kita hendaklah menghormati ibubapa.
H/C: Rahimah tidak menghormati ibunya, malah Rahimah enggan mengaku perempuan tua
Itu ibunya kerana malu di hadapan Hamdan, kawannya itu.Rahimah mengarahkan Amin
orang gajinya menghalau ibunya.
F3: Bersyukur atas kepulangan dan kejayaan yang dicapai
H/C: Mak Rahimah bersyukur kerana anaknya dan menantunya pulang dari England dan berjaya lulus ilmu undang-undang serta dapat menjadi seorang majisteret.
F4: Menderhaka kepada orang tua
H/C: Rahimah tidak mahu mengaku ibunya yang datang dari kampong kerana ibunya berpakaian selekeh serta membawa sayuran kampong dalam bakul.Rahimah telah mengarahkan orang gajinya Amin menghalau ibunya.
F5: Jangan menghina / merendah-rendahkan orang
H/C: Rahimah menghina ibunya sendiri dengan mengatakan kehadiran ibunya ke rumahnya buat malu saja.
F6: Sombong / angkuh / berlagak
H/C: Rahimah menjadi sombong dan angkuh setelah pulang dari England kerana dia tidak mengakui dan berpura-pura tidak mengenali ibunya sendiri.
F7: Lupa daratan / lupa asal-usul
H/C: Rahimah lupa asal-usulnya seorang gadis kampung, beliau telah menolak pemberian buah tangan dari kampung yang dibawa oleh ibunya sendiri.
Pilih 4 isi sahaja
1 isi x 2 markah ( 1 markah fakta dan 1 markah huraian/contoh)
4 isi x 2 markah = 8 markah
(c). Empat fenomena sosial yang tidak menyenangkan [12]
F1: Amalan menerima rasuah pecah amanah
H/C: Dahlan yang telah menerima rasuah / pecah amanah sebanyak RM 10,000 telah dihukum penjara selama 4 tahun dengan kerja berat.
F2: Pengaruh budaya barat
H/C: Setelah kembali ke tanah air, Dahlan dan Rahimah mengamalkan budaya barat. Mereka suka berfoya-foya di kelab malam, sering menghadiri parti-parti dan mengamalkan pergaulan bebas.
F3: Menderhaka kepada orang tua
H/C: Rahimah tidak mahu mengaku ibunya yang datang dari kampong kerana ibunya berpakaian selekeh serta membawa sayuran kampong dalam bakul.Rahimah telah mengarahkan orang gajinya Amin menghalau ibunya
F4: lupa asal usul
H/C: Dahlan dan Rahimah telah lupa asal usul mereka setelah pulang dari England. Mereka telah mengamalkan cara hidup orang barat. Mereka beranggap bahawa barat adalah moden.Mereka tidak lagi makan makanan kampong seperti ulaman-ulaman dan sayuran kampong.
F5: sikap mementing diri sendiri
H/C: Pengarang menonjolkan seseorang perlu ada sikap bantu-membantu antara satu sama lain. Sikap Dahlan yang pentingkan diri dan tidak mahu membantu mereka yang memerlukan telah menimbulkan rasa kecewa dalam diri Pak Hamid. Dahlan tidak mahu membantu peminta sedekah, tidak mahu menderma kepada sekolah agama rakyat serta tidak mahu bercermah kepada anak-anak kampong.
F6: Mengabaikan ajaran agama
H/C: Golongan yang mengabaikan ajaran agama tidak akan hidup bahagia . Dahlan yang mengabaikan ajaran agama akhirnya mengalami masalah dalam kehidupan rumahtangga di mana rumahtangganya hancur.
F7: Kedekut
H/C: Tidak menghulurkan sumbangan derma bagi membantu golongan yang memerlukan, Dahlan dan Rahimah tidak menghulurkan sumbangan derma kepada mereka yang datang memohon bantuan kewangan seperti Aliman
F8: Sombong / angkuh
H/C: Sombong kerana mempunyai kedudukan yang lebih baik. Rahimah sombong dan angkuh dengan kedudukannya sebagai isteri seorang majisteret sehingga dia sanggup menghina dan bercakap dengan kasar dengan orang gajinya.
Pilih 4 isi sahaja
4 isi x 3 markah ( 2 markah fakta, 1 markah Huraian/Contoh)
4 isi x 3 markah = 12 markah
6) Baca drama di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya:
(a) Jelaskan persamaan nilai yang terdapat pada watak Minah dan Cik Lijah dalam drama Malam Ini Penyu Menangis karya Noordin Hassan. [ 9 ]
b). Huraikan citra masyarakat nelayan yang dipaparkan dalam drama di atas. [10 ]
c) Huraikan Tiga pengajaran yang terdapat dalam drama. [ 6 ]
d)
Soalan 6
SKEMA PEMARKAHAN
a) Persamaan nilai antara Minah dengan Cik Lijah ialah:
F1: Penyayang
H/C: Kedua-dua Minah dan Cik Lijah sayang kepada suami mereka. Minah tidak sanggup berpisah dengan Mamat walaupun diminta oleh Hugh Clifford untuk dihantar ke hospital, malah Minah sanggup menjaga sendiri Mamat di rumah mereka. Begitu j uga dengan Cik Lijah yang menyayangi JM Aziz walaupun JM Aziz menghidap penyakit kusta.
F2: setia
H/C: Kedua-dua Minah dan Cik Lijah setia terhadap suami mereka. Minah tidak pernah merasa susah walaupun terpaksa menjaga Mamat yang sedang sakit. Begitu juga dengan Cik Lijah yang setia dengan JM Aziz walaupun JM Aziz menghidap penyakit kusta.
F3: Tabah
H/C: Kedua-dua Minah dan Cik Lijah tabah mengharungi cabaran yang mendatang.Minah tabah menghadapi dugaan . Minah terpaksa menjaga Mamat yang sedang sakit dan dalam
masa yang sama terpaksa mencari rezeki untuk keluargaambil . Begitu juga dengan Cik Lijah terpaksa mencari rezeki tambahan dengan mengambil upah membuat badang buluh.
F4: Rajin
H/C: Kedua-dua Minah dan Cik Lijah rajin. Minah sanggup berusaha mencari rezeki,walaupun penat menjaga Mamat. Begitu juga dengan Cik Lijah sanggup mengambil upah menjahit dan membuat badang buluh semata-mata ingin menambah rezeki buat keluarga.
F5: Sabar
H/C: Kedua-dua Minah dan Cik Lijah sabar dalam menempuh dugaan hidup. Minah sanggup
Menjaga Mamat yang sakit tenat dan dalam masa yang sama terpaksa mencari rezeki.Begitu Juga dengan Cik Lijah yang sabar menempuh dugaan. Cik Lijah sabar berhadapan dengan suaminya yang menghidap penyakit kusta, malah Cik Lijah telah mengambil menjahit dan membuat badang buluh demi menampung perbelanjaan keluarga.
Pilih 3 isi sahaja
1 isi x 3 markah ( 1 markah fakta, 2 markah huraian/ contoh )
3 isi x 3 markah = 9 markah
F1: Citra masyarakat nelayan yang kehidupannya terpinggir daripada pembangunan.
H/C: Masyarakat nelayan seringkali dipinggirkan dari segi pembangunan ini terbukti menerusi kenyataan daripada Nik yang mengatakan Kuala Kedah cukup daif walaupun ianya merupakan pintu masuk ke Langkawi.
F2: Citra masyarakat nelayan yang terpaksa berhadapan dengan orang tengah
H/C:
F3: Citra masyarakat nelayan yang diancam oleh pendatang haram
H/C: Masyarakat nelayan khasnya di Kg.Seberang Takir terpaksa berdepan dengan pencerobohan pendatang haram Vietnam, seperti Jaafar dan Ibrahim yang mati lemas kerana mempertahankan Kg. Seberang Takir dari dicerobohi pendatang haram.
F4: Citra masyarakat nelayan yang sanggup berkorban untuk negara.
H/C: Jaafar dan Ibrahim yang mati lemas kerana mempertahankan Kg.Seberang Takir dari dicerobohi pendatang haram perlarian Vietnam.
F5: Citra masyarakat nelayan yang tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.
H/C: Golongan nelayan seringkali diabaikan dan dilupakan oleh pihak berwajib, buktinya J.M.Aziz kesal kerana rakannya tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada pihak berwajib.
F6: Citra masyarakat nelayan yang terbiar dan daif / dibelenggu kemiskinan.
H/C: Masyarakat nelayan masih hidup dalam kemiskinan seperti yang dinyatakan oleh Nik tentang penduduk di Kg.Kuala Kedah yang jauh dari arus pembangunan.
Pilih 3 isi sahaja.
1 isi = 4 markah ( 2 markah Fakta dan 2 Markah Huraian/Contoh)
3 isi x 4 markah = 12 markah.
c) Dua pengajaran yang terdapat dalam drama:
F1: bersyukur atas nikmat yang dikurniakan kepada kita.
H/C: Nabi Ayub sentiasa bersyukur atas anugerah kekayaan yang diberikan oleh Allah.Baginda tidak pernah jemu untuk beribadat kepada Allah yang Esa.
F2: Sabar dalam menghadapi dugaan hidup.
H/C: Walaupun menghidap penyakit kusta, JM Aziz tetap bersabar dan bertakwa kepada Allah yang Esa. Malah JM Aziz terus berkarya menghasilkan puisi dan dibantu oleh anaknya kerana mata JM Aziz telah buta.
F3: setia terhadeap ahli keluarga
H/C: kesetiaan seorang isteri penting dalam membentuk keluaraga yang bahagia. Cik lijah Setia kepada JM Aziz walaupun JM Aziz menghidap penyakit kusta. Malah Cik Lijah membantu JM Aziz dalam menambah rezeki untuk keluarga.
F4: Berani menempuh dugaan
H/C: Kita perlu berani menempuh dugaan dalam kehidupan. JM Aziz berani meredah lautan yang bergelora demi mendapatkan sesuap nasi untuk keluarga.
F5: mempertahankan tanah air daripada pencerobohan
H/C: sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita hendaklah mempertahankan tanah air daripada pencerobohan. Jaafar dan Ibrahim telah mati akibat mempertahankan tanah air darpada pelarian Vietnam. Mereka sanggup berkorban demi mempertahankan hak dan maruah Negara.
Pilih 2 isi sahaja
1 isi x 2 markah (1 markah fakta dan 1 markah Huraian/Contoh)
3 isi x 2 markah = 6 markah
Soalan 7
7. Baca sajak di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.
Doa Terakhir
Zaihasra
Yang kupeluk tubuh lelahmu
yang kucium rambut lusuhmu
yang berderai air mataku, dingin subuh
menggigit kulit dan jantungku berdetap
ketika embun turun mencecah bumi 5
menghitung denyut waktu saat akhir nafasmu
membawa pergi apa yang kummiliki !
Ibunda,
selamanya kedengar deburan ombak hidupmu
seadanya kutampung penderitaanmu, sedang kudratku 10
lemah untuk menahannya ; doaku mungkin lewat terkabul
di mana pada alam luas ini suaraku sering tenggelam punca
betapa pilunya embun terakhir menyentakku
tiada lagi senyum di bibir lukamu .
Ibunda, 15
kalaulah mungkin aku berdosa
setelah kita saling bermaaf ;
janganlah kau bawa lukaku bersamamu
aku telah belajar membaca wajah laut
mengoyak wajak pasir, menyibak suria 20
menggenggam angin menyusuri wajah malam
namun, maafkan aku demi cintamu.
Pulanglah bonda ke dalam kehidupan yang abadi
setelah datang dengan berani
akan kukenang matamu dalam merenungku 25
mengungkap penyerahan hayat
perjalanan 74 begitu panjang pertarungan
suka duka adalah impian kau membangunkan mimpi
dan aku adalah benteng yang mendepani
kehidupanmu. 30
bagaikan batu pualam
onggokan pusaramu
memanggilku pulang
ke kampung laman
setelah lama dan jauh , musafir dan berkelana 35
pedih mataku berair mata
segenggam rindu menjadi selaut duka
setabah dukaku menampung rasamu.
Ibunda,
meski di sini kita berpisah 40
dan di tamanku belum selesai kutanam bunga
kau adalah segalanya bagiku
tenang dan tenanglah
dalam doaku kita pasti bertemu.
Dewan Sastera, April 1998
Dewan Bahasa dan Pustaka.
(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia[peny.], 2003.
Mutiara Sastera Melayu Moden.Dewan Bahasa dan Pustaka:
Kuala Lumpur. Hal. 292-293).
(a) Jelaskan empat perlakuan penyajak terhadap ibunya dalam sajak tersebut. [ 8 ]
(b) Huraikan tiga mesej berserta contoh yang ingin dikemukakan penyajak dalam sajak tersebut. [ 9 ]
(c) Huraikan empat unsur perulangan berserta contoh yang terdapat dalam di atas. [ 8 ]
SKEMA PERMARKAHAN
(a) Empat perlakuan/tindakan penyajak terhadap ibunya dalam sajak.
F1: Penyajak memeluk ibunya yang sedang nazak.
H/C: Penyajak telah memeluk tubuh ibunya yang sedang nazak. Ini menujukkan betapa sayangnya penyajak terhadap ibunya.
Yang kupeluk tubuh lelahmu. (R1:B1)
F2: Penyajak mencium rambut ibunya yang sedang nazak.
H/C: Penyajak bertindak mencium rambut ibunya semasa ibunya sedang nazak.Ini menunjukkan betapa rapatnya hubungan penyajak dan ibunya.
yang kucium rambut lusuhmu. (R1:B2)
F3: Penyajak menangis/bersedih atas kematian ibunya.
H/C: Penyajak amat bersedih atas kematian ibunya. Lalu penyajak menangis untuk meratapi kepulangan ibunya kerahmatullah.
yang berderai air mataku, dingin subuh (R1:B2)
F4: Penyajak meminta maaf kepada ibunya atas dosa dan kesalahanya..
H/C: Penyajak meminta maaf kepada ibunya di atas segala kesalahan yang dilakukannya selama ini agar kehidupan abadi ibunya aman dan tenteram.
namun, maafkan aku demi cintamu (R3:B8)
F5: Penyajak datang menziarahi pusara ibunya yang lama ditinggalkan.
H/C: Penyajak terpanggil untuk pulang ke kampung halamannya untuk menziarahi pusara/kubur ibunya untuk melepaskan rindu kepada ibunya.
onggokan pusaramu(R3:B11)
memanggilku pulang (R3:B12)
ke kampung laman (R3: B13)
F6: Penyajak berdoa agar roh ibunya dirahmati Allah.
H/C: Penyajak telah berdoa kepada Allah, agar roh ibunya dirahmati Allah dan sentiasa tenang dalam pengabdiannya kepada Allah.
tenang dan tenanglah (R5: B5)
Dalam doaku kita pasti bertemu (R5:B6).
Pilih 4 isi sahaja
1 isi = 3 markah (1 markah fakta dan 2 markah Huraian/Contoh)
4 isi x 3 markah = 12 markah
(b) Tiga mesej berserta contoh.
F1: Penyajak ingin menyampaikan agar anak sentiasa berdoa terhadap ibu kita untuk ketenangan dan kesejahteraannya.
H/C: Doa daripada anak kepada ibu adalah penting untuk menjamin ketenangan dan kesejahteraan ibu khsusnya bagi ibu yang telah meninggal dunia.
selamanya kudengar penderitaamu,sedang kudratku (R2:B2)
lemah untuk menahannya; doaku mungkin lewat terkabul (R2:B3)
F2: Penyajak ingin menyampaikan agar anak dan ibu mestilah saling bermaaf- maafan.
H/C: Anak dan ibu mestilah saling bermaaf-maafan demi menjalinkan perhubungan yang mesra dan dirahmati Allah agar dosa dan kesalahan dapat diampunkan.Dengan itu kehidupan lebih aman dan harmoni.
kalaulah mungkin aku berdosa (R3:B2)
setelah saling kita bermaafan (R3:B3)
janganlah kau bawa lukaku bersamamu (R3:B4)
F3: Penyajak ingin menyampaikan mesejnya agar anak meredhai/merelakan kematian ibu/pulang kerahmatullah.
H/C: Sebagai anak yang baik, kita semestinya meredha/merelakan kematian ibu kerana suratan takdir. Walaupun anak berasa sedih atas kepulanagan ibu kerahmatullah ini.
Pulanglah bonda ke dalam kehidupan abadi (R4:B1)
setelah datang dengan berani(R4:B2)
akan kukenang matamu dalam merenungku (R4:B3)
F4: Penyajak ingin menyampaikan agar anak sentiasalah menziarahi pusara ibu yang telah meninggal dunia.
H/C: Anak seharusnya sentiasa menziarahi pusara ibu yang telah meninggal dunia untuk menandakan ikatan/perhubungan yang tidak putus antara anak dan ibu.
onggokan pusaramu (R4:R10)
menanggilku pulang (R4:B11)
ke kampung laman (R4:B12)
F5: Penyajak ingin menyampaikan agar agar anak meletakkan harapan yang tinggi/besar terhadap ibu kita.
H/C: Bagi anak, ibu adalah segala-galanya di dunia ini. Ibulah yang sanggup berkorban jiwa dan raga untuk membesar dan mendidik kita. Jadi anak mestilah menaruh harapan yang tinggi terhadap ibu.
kau adalah segalanya bagiku (R5:B4)
tenang dan tenanglah (R5:B5)
dalam doaku kita pasti bertemu (R5:B6)
Pilih 3 isi sahaja
1 isi = 3 markah (1 markah fakta dan 2 markah Huraian/Contoh)
3 isi x 3 markah = 9 markah
(c) Empat unsur perulangan berserta contoh.
F1: Perulangan kata di awal baris / Anafora.
H/C: Perulangan kata/perkataan pada bahagian awal baris yang berturutan.
Yang kupeluk tubuh lemahmu (R1:B1)
yang kucium rambut lusuhmu (R1:B2)
Kesan: Menimbulkan kesan keindahan dari segi penyebutan kata –“yang”./ penegasan maksud yang hendak disampaikan.
F2: Perulangan kata di akhir baris / Efifora .
H/C: Perulangan kata di akhir baris berturutan .
Yang kupeluk tubuh lelahmu (R1:B1)
yang kucium rambut lusuhmu (R1:B2)
Kesan: Melahirkan kesan kemerduan bunyi di akhir baris yang berturutan. / penegasan maksud yang hendak disampaikan oleh penyajak.
F3: Perulangan bunyi Asonansi.
H/C: Perulangan @ persamaan bunyi vokal dalam satu baris sajak.
pedih mataku berair mata (R4:B14)
berlaku perulangan bunyi vokal “a”
Kesan: Menimbulkan kesan keindahan penyebutan bunyi vokal “a”./ kemerduan bunyi
F4: Perulangan bunyi Aliterasi.
H/C: Perulangan @ persamaan bunyi konsonan dalam satu baris sajak.
Mengoyak wajah pasir, menyibak suria (R3: B6)
berlaku perulangan bunyi konsonan “k”
Kesan: Menimbulkan kesan keindahan penyebutan bunyi konsonan “k”./ kemerduan bunyi
F5: Perulangan Baris.
H/C: Perulangan baris yang sama dalam sajak.
Ibunda (R2:B1)
Ibunda (R3:B1)
berlaku perulangan baris “Ibunda”
Kesan: Menegaskan maksud perkataan/kata “Ibunda”
F6: Perulangan Kata/Perkataan
H/C: Perulangan kata/perkataan dalam satu baris sajak.
aku telah belajar membaca wajah laut (R3:B5)
Mengoyak wajah pasir menyibak suria (R3:B6)
Menggenggam angin menyusuri wajah malam (R3:B7)
Kesan: Menegaskan maksud perkataan/kata “wajah”
F7: Perulangan kata di tengah baris
H/C: Perkataan yang sama diulang di tengah baris
suka duka adalah impian kau membangunkan mimpi
dan aku adalah benteng yang mendepani
Kesan: Meninggalkan kesan penegasan maksud yang hendak disampaikan oleh penyajak.
Pilih 4 isi sahaja
1 isi = 3 markah ( 1 markah fakta , 1 markah Huraian/Contoh dan 1 markah kesan)
4 isi x 3 markah = 12 markah
Soalan 8
Baca sajak di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.
www.sibermerdeka.com.my
A.Ghafar Ibrahim
Dalam kebun diriku
aku tanam saujana rancangan
untuk memerdekakan warga susahku
hidup menentang senja dan malam.
Dalam parlimen diriku 5
aku bahas isu onak dan enak
untuk kumerdekakan warga fikirku
mengelak hidup diperkotakkatikkan.
Dalam laut diriku
ombak gelora memanpar pantai aman 10
untuk menguji amal dan iman.
Dalam gergasi diriku
terpedaya jua oleh permainan si kancil
namun sempat sedar dan beringat lagi.
Dalam pentas diriku 15
aku berlatih menangkis angin
aku berlatih memunggah awan
menghayati skrip demi skrip
yang tak diduga klimaksnya.
Dalam dewan diriku 20
aku tak cemas lagi
oleh kata yang mengekang
aku tak lemas lagi
oleh kata yang menyerang.
Apabila siber merdeka sampai 25
ke rumah cabaranku
aku panggil diriku bermesyuarat
menyokong, berkecuali atau menentang
aku ambil keputusan
waktu itu aku kenal batas diri 30
untuk tidak mengulangi kekalahan.
Kini, kapal diriku telah berlabuh
di pangkalan usia
aku turun darinya 35
mengadap hidup nyata
peristiwa datang peristiwa pergi
bagai siang memanggil malam
dan siber merdeka terus berkaca
terus mengalirkan arus ingatan : 40
elakkan dirimu menjadi sia-sia
hamparkan dirimu di persada Tuhan.
Dewan Sastera, Ogos 2001
Dewan Bahasa dan Pustaka.
(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia[peny.], 2003.
Mutiara Sastera Melayu Moden.
Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur. Hal. 310-311.
(a) Terangkan hubungan antara judul dengan kandungan sajak di atas. [ 4 ]
(b) Huraikan tiga pemikiran penyajak dalam sajak di atas. [ 6 ]
(c) Dengan memberikan contoh yang sesuai, huraikan lima unsur gaya bahasa sajak di atas yang mengangkat nilai estetik sajak tersebut. [15 ]
SKEMA PERMARKAHAN
(a). hubungan antara judul dengan kandungan sajak
F1: Judul / tajuk membayangkan isi
H: Usaha penyajak untuk membebaskan diri dari belenggu kesusahan hidup.
F2: Isi dapat memberi kesedaran dan keinsafan
H: Kesedaran untuk membebaskan diri dari belenggu kehidupan yang sukar / susah / miskin ataupun mudah diperkotakkatikkan.
(b) Tiga pemikiran sajak .
F1: membebaskan diri kita daripada penderitaan dan kesusahan hidup.
H/C: Penderitaan dan kesusahan dalam kehidupan akan mengakibatkan kehidupan seseorang itu terseksa dan hidup dalam keadaan tertekan . Jadi penyajak ingin menyatakan mesejnya kepada pembaca agar kita mestilah berazam ingin membebaskan kita daripada penderitaan dan kesusahan dalam hidup kita.
aku tanam saujana rancangan (R1: B2)
untuk memerdekan warga susahku (R1: B3)
hidup menentang senja dan malam (R1: B4)
F2: mengelakkan diri kita daripada dipermain-mainkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
H/C: Dalam hidup ini , kadang-kadang kita sering dipermain-mainkan atau dipergunakan oleh golongan manusia yang tidak bertanggungjawab dan berkepentingan diri. Jadi penyajak ingin menyarankan mesejnya agar kita mestilah mengelakkan diri kita daripada dipermain-mainkan atau di pergunakan oleh manusia yang berkepentingan diri ini.
aku bahas isu onak dan enak (R2 : B2)
untuk kumerdekan warga fikirku (R2 : B3)
mengelak hidup diperkotakkatikkkan (R2 : B4)
F3: Kita mestilah gigih berusaha menghadapi rintangan hidup yang tidak diduga datangnya.
H/C: Kadang-kadang dalam kehidupan ini, kita didatangi masalah dan rintangan hidup yang tidak diduga datangnya. Jadi penyajak menyarankan mesejnya agar kita hendaklah berusaha dengan gigih menghadapi rintangan hidup agar kehidupan kita aman dan harmoni.
aku berlatih menangkis angin (R5 : B2)
aku berlatih memunggah awan (R5 : B3)
menghayati skrip demi skrip (R5 : B4)
yang tak diduga klimaksnya (R5 : B5)
F4: berani menegakkan kebenaran dalam kehidupan ini.
H/C: Dalam hidup ini kita terpaksa menghadapi cabaran dan rintangan hidup. Demi kebenaran dan kesejahteraan sikap berani menegakkan kebenaran perlu ada dalam diri setiap insan. Walaupun kebenaran, itu amat sukar ditegakkan. Jadi penyajak menyarankan mesejnya agar kita hendaklah berani menegakkan kebenaran agar kehidupan kita sejahtera.
aku tak lemas lagi (R6 : B2)
oleh kata yang mengekang (R6 : B3)
aku tak lemas kagi (R6 : B4)
oleh kata yang menyerang (R6 : B5)
F5: sedar/mengetahui kekuatan dan kelemahan diri agar tidak mengulangi kesilapan diri.
H/C: Manusia itu memang mempunyai kekuatan dan kelemahan diri masing-masing yang perlu disedari oleh seseorang itu. Dengan mempertingkatkan kekuatan atau kelebihan diri dan meminimakan kelemahan atau kekurangan diri seseorang itu akan berjaya dalam hidupnya. Jadi penyajak menyarankan mesejnya agar kita hendaklah mengetahui kekuatan dan kelemahan diri agar kita tidak mengulangi kesilapan diri.
aku ambil keputusan (R7 : B5)
waktu itu aku kenal batas diri (R7 : B8)
untuk tidak mengulangi kesilapan (R7 : B9)
F6: mendekati diri kepada Allah /Tuhan agar hidup kita berguna/bermanfaat.
H/C: Dalam hidup ini paksi kehidupan adalah usaha kita mendekatkan diri dengan pencipta kita iaitu Allah/Tuhan. Usaha mendekatkan diri dengan Allah mengakibatkan hidup kita akan lebih berguna atau bermatlamat/bermanfaat, iaitu “beribadat kepada Allah” . Jadi penyajak menyarankan mesejnya agar kita hendaklah sentiasa mendekata diri kepada Allah supaya hidup kita lebih berguna dan bermanfaat.
elakkan dirimu menjadi sia-sia (R8 : B9)
Hamparkan dirimu di persada Tuhan (R8 : B10)
Pilih 2 isi
1 isi = 3 markah (2 markah fakta dan 1 markah Huraian/Contoh)
2 isi x 3 markah = 6 markah
(c) Lima unsur gaya bahasa dan fungsinya.
F1: Metafora.
H/C: Perbandingan kata abstrak dengan konkrit dalam baris sajak.
Dalam dewan diriku (R6:B1)
Terdapat perbandingan kata konkrit iaitu “dewan” dengan kata abstrak “diriku”
Fungsi: Memberi ironi pasangan perkataan yang tidak lazim (biasa) seterunya dapat menimbulkan kesan estetika bahasan sajak ini.
F2: Personifikasi(Pengorangan)
H/C: Perbandingan kata sifat atau perbuatan manusia diberikan/dikenakan kepada objek/bukan manusia.
Ombak gelora menampar pantai aman (R3:B2)
Kata “menampar” kata perbuatan manusia dikenakan pada “ombak gelora” kata bukan manusia.
Fungsi :menghidupkan imaginasi dan memperjelaskan tanggapan terhadap sesuatu yang abstrak.
F3: Perlanbangan/ Simbol
H/C: Kata dalam ungkapan sajak yang membawa/memberi maksud/erti tersirat yang diketahui umum.
hidup menentang senja dan malam (R1:B4)
Kata “senja” dan “malam” melambangkan makna tersirat iaitu “kesusasahan hidup” atau “penderitaan/kesengsaraan hidup”.
Fungsi: menimbulkan kesan gambaran tentang sesuatu kehidupan.
F4: Perulangan Metafora.
H/C: Perulangan kata /frasa di awal baris yang berturutan dalam sajak.
aku berlatih menagkis angina (R4:B2)
aku berlatih memunggah awan (R4:B3)
Frasa “aku berlatih” diulang di awal baris ungkapan sajak di atas.
Fungsi: Menimbulkan kesan keindahan dari segi penyebutan kata/frasa sajak .
F5: Perulangan Kata(Perkataan)
H/C: Perulangan kata /Perkataan dalam sebaris sajak.
peristiwa datang peristiwa pergi (R8:B5)
Kata “peristiwa” diulang-ulang dalam baris sajak di atas.
Fungsi: Menimbulkan kesan keindahan dari segi penyebutan kata/frasa sajak
F6: Perulangan Rima Akhir
H/C: Perulangan/Persamaan suku kata akhir baris yang berturutan dalam sajak.
ombak gelora menampar pantai a/man (R3:B2)
untuk menguji amal dan i/man (R3 : B3)
Berlaku perulangan/ persamaan suku kata “man” di akhir setiap baris sajak di atas.
Fungsi:Menimbulkan kesan keindahan bunyi penyebutan rima akhir yang seragam.
F7: Permainan bunyi Asonansi
H/C: Perulangan/Persamaan bunyi vokal dalam sebaris sajak.
aku tanam saujana rancangan (R1:B2)
Berlaku perulangan bunyi vokal “a”
Fungsi: Menimbulkan kesan keindahan penyebutan bunyi vokal “a”
F8: Permainan bunyi Aliterasi
H/C: Perulangan/Persamaan bunyi konsonan dalam sebaris sajak
Dalam dewan diriku (R1:B6)
Berlaku perulangan bunyi konsonan “d”
Fungsi : Menimbulkan kesan keindahan penyebutan bunyi konsonan “d”
Pilih 5 isi
1 isi = 3 markah (1 markah fakta dan 2 markah Huraian/Contoh 2 markah)
5 isi x 3 markah = 15 markah
SKEMA TAMAT
SELAMAT MEMERIKSA